Fatrah Makkah : Menentang Perpaduan Jahiliyyah


Ketika fatrah Makkah, dimana sebelum berlakunya hijrah Nabi S.A.W. Umat Islam diuji dengan berbagai cabaran dan ujian yang menimpa mereka. Namun atas kekuatan tarbiyah yang dialami oleh para sahabat melalui Baginda Rasulullah S.A.W sendiri, tidak membuatkan mereka lemah namun semakin bertambah keimanan dan ketaqwaan mereka kepada Allah S.W.T. Inilah yang menjadi kerisauan para pemimpin jahiliyyah ketika itu.

⚫ Menentang Sekular Jahiliyyah

Pemimpin-pemimpin musyrikin menawarkan kepada Nabi dengan tawaran-tawaran mereka. Harta, wanita, pangkat, dan jawatan. Agar Islam ini tidak menguasai pemikiran dan kehidupan manusia. Cukuplah Islam itu hanya sekadar solat, puasa, tawaf dan haji sahaja. Tetapi janganlah sehingga mengganggu adat jahiliyyah yang telah didoktrinisasikan kepada kaum Quraisy ketika itu.

Cukuplah agama itu sebagai agama dan bukan sebagai cara atau sistem kehidupan manusia. Ini yang mereka syaratkan. Namun, segala tawaran ini ditolak tegas oleh Rasulullah S.A.W.

⚫ Perpaduan Jahiliyyah

Puak-puak kuffar Quraisy ketika itu menuduh Nabi Muhammad S.A.W sebagai pemecah belah perpaduan ummat yang tidak mahu bersatu di atas nama yang lain.

Kesatuan itu ditolak mentah-mentah oleh Nabi S.A.W. Kerana usaha diplomatik yang mereka tawarkan adalah dengan syarat mendiamkan diri terhadap kemungkaran, syirik, dan jahiliyyah. Perpaduan ini adalah perpaduan jahiliyyah yang sangat ditentang oleh Islam kerana mengabaikan prinsip agama.

⚫ Kecelakaan Umat Hari Ini

Lihatlah firman Allah S.W.T di dalam surah al-Baqarah, ayat 251 :
ولو لا دفع الله الناس بعضهم ببعض لفسدت الأرض
"Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengah yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini."


Namun kini ada yang berkata :

"Kenapa kita mesti bertelingkah? Ini akan berlaku perpecahan sesama manusia!"

Mengapapun sekiranya berlaku perpecahan?

Kita menolak pertelingkahan yang berlaku atas dasar ingin menjaga kebahagian, kedamaian, dan rahmat kepada orang lain namun kita mendiamkan diri ke atas kekufuran dan kemungkaran. Orang bermaksiat, kita tidak peduli. Orang hendak melaksanakan hukum kafir, kita tidak mahu tegur dan kritik.

Bermakna kita telah mengizinkan bumi Allah ini dinodai dengan kekufuran jahiliyyah. Maka, celakalah kita sekiranya sebegini. Sedangkan Nabi dan para mukminin dipulau, dihina, dan disiksa kerana mempertahankan Islam. Tetapi kita bermudah-mudahan melacur prinsip ini atas nama kedamaian.

Moga Allah mengampunkan dosa-dosa kita di atas kecelakaan ini.


27 September 2017M / 7 Muharram 1439H

Ainor Syahirah Khalid
Timbalan Ketua Lajnah Penerangan dan Penerbitan MPMK,
Sesi 2016/2017


Ulasan