Debat : Siapa Yang Jahil?


Imam Syafi'i : "Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu, tapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, karena orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu."

Sikap jahilliyah terkenal dengan keegoan mereka mempertahankan pendapat yang salah. Sifat ini lahir dalam 2 bentuk keadaan, samaada 'tidak mempunyai ilmu' atau 'tidak mengikuti landasan ilmu'. Dan ilmu yang dimaksudkan itu adalah mengenali haq dan bathil.

Jahiliyyah itu juga mempunyai 2 jenis, iaitu 'basit' dan 'murakkab'. Basit itu sedar bahawa mereka jahil dan menerima perbincangan ilmu dengan matlamat mencapai kebenaran dan membantah kebathilan. Manakala murakkab pula tidak sedar bahawa mereka jahil dan menolak perbincangan ilmu, serta mempertahankan pula kebathilan agar mereka memperoleh kemenangan dunia.

Adapun sebahagian manusia menganggap hujah Imam Syafi'i itu diketengahkan buat orang-orang yang suka berdebat, dengan memukul rata golongan pendebat walaupun perdebatan yang berlaku itu bersifat mencari petunjuk.

Mereka tidak sedar, bahawa dalam masa yang sama mereka telah menuduh jahil Imam Syafi'i yang terkenal dengan kehebatan berdialog, serta ulamak-ulamak pendebat yang lain seperti Zakir Naik, Ahmad Deedat dan ramai lagi! Mereka juga memperlekehkan konsep المجادلة dalam Islam yang disebutkan oleh Allah S.W.T dalam al-Qur'an, surah an-Nahl, ayat 125. Konsep ini telah dijalankan oleh para Anbiya' seperti Musa A.S melawan Fir'aun, para sahabat dan tabi'in.

Islam itu يعلو ولا يعلى عليه . Justeru, mana mungkin kita membiarkan kejahilan manusia terus merebak luas dan menempati kedudukan tertinggi dalam kehidupan tanpa adanya penerangan dan pertahanan melalui perbahasan ilmu sesama manusia. Sanggupkah kita membiarkan Islam terus kalah dengan kejahilan?

Saya berpandangan bahawa orang yang tidak mahu berbahas dan berdebat mencari petunjuk lebih teruk berbanding mereka yang membuka jalan perdebatan (baca: kongsi ilmu). Mereka yang tidak mahu berdialog seolah-olah hanya rigid dengan satu pendapat tanpa menilai kebenaran pendapat-pendapat yang lain.

Namun disana juga saya tidak menafikan bahawa ada beberapa keadaan yang memerlukan kita menutup pintu perdebatan bilamana berlebihan, sehingga lari daripada tujuan asal berdebat iaitu menetapkan kebenaran. Sepertimana yang disebutkan oleh Imam Syafi'i di atas, ketikamana berhadapan dengan golongan Jahil Murakkab yang akan menyebabkan manusia terus keliru dan berpecah. Atau terdapatnya unsur-unsur seperti mencela, menghina, atau membuka aib batang tubuh yang sama sekali tidak ada kaitan dengan tajuk perdebatan. Atau debat yang mengunakan akal dan hawa nafsu semata-mata tanpa adanya rujukan nas dan ijma' ulamak.

Ibnu Battah al-Ukbari Rahimahullahu berkata :

"Jika ada seseorang bertanya : 'Engkau telah memberi peringatan kepada kami dari melakukan pertengkaran, perdebatan, dan dialog (dengan ahlul bid'ah). Dan kami telah mengetahui bahawa inilah yang benar. Inilah jalan para ulamak, jalan para sahabat, dan orang-orang yang berilmu dari kalangan kaum mukminin serta para ulamak yang diberi penerangan jalan. Lalu, jika ada seseorang datang kepadaku bertanya tentang sesuatu yang berupa hawa nafsu yang jelas dan pelbagai pendapat yang buruk yang menyebar, lalu dia berbicara dengan sesuatu darinya dan mengharapkan jawapan dariku, sedangkan aku termasuk orang yang telah Allah S.W.T berikan ilmu tentangnya serta pemahaman yang tajam dalam menyingkapinya. Apakah aku mesti tinggalkan dia berbicara seenaknya dan tidak menjawabnya serta aku biarkan dia dengan bid’ahnya, dan tidak membantah pendapat buruk tersebut?'

Maka aku akan mengatakan kepadanya : Ketahuilah wahai saudaraku bahawa orang yang seperti ini keadaannya (yang mahu mendebatimu), yang engkau diuji dengannya, tidak lepas dari tiga keadaan. Adakalanya dia orang yang engkau ketahui metode dan pendapatnya yang baik, serta kecintaannya untuk mendapatkan keselamatan, dan selalu berusaha berjalan di atas jalan istiqamah. Namun dia sempat mendengar perkataan mereka yang para syaitan telah bersarang di dalam hati-hati mereka, sehingga dia berbicara dengan berbagai jenis kekufuran melalui lisan-lisan mereka. Dan dia tidak mengetahui jalan keluar dari apa yang telah menimpanya tersebut, sehingga dia bertanya dengan pertanyaan seseorang yang meminta bimbingan, untuk mendapatkan penyelesaian dari masalah yang dihadapinya dan ubat dari gangguan yang dialaminya. Dan engkau memandang bahawa dia akan taat dan tidak menyelisihinya.


Orang seperti ini, yang wajib keatasmu mengarahkan dan membimbingnya dari pelbagai jeratan syaitan. Dan hendaklah engkau membimbingnya kepada al-Kitab dan as-Sunnah serta athar-athar yang sohih dari ulamak-ulamak umat ini dari kalangan para sahabat dan tabi’in. Semua itu dilakukan dengan cara yang bijaksana dan nasihat yang menepati nas. Dan jauhilah sikap berlebih-lebihan terhadap apa yang engkau tidak ketahuinya, lalu hanya mengutamakan akal dan tenggelam dalam Ilmu Kalam. Kerana sesungguhnya perbuatanmu tersebut adalah bid’ah. Jika engkau menghendaki Sunnah, maka sesungguhnya keinginanmu itu mesti mengikuti kebenaran, dengan tidak mengikuti jalan kebenaran tersebut adalah bathil. Dan engkau berbicara tentang as-Sunnah dengan cara bukan as-Sunnah adalah bid’ah. Jangan engkau mencari kesembuhan saudaramu dengan penyakit yang ada pada dirimu. Jangan engkau memperbaikinya dengan kerosakanmu, kerana sesungguhnya orang yang menipu dirinya tidak mampu menasihati manusia. Dan siapa yang tidak ada kebaikan pada dirinya, maka tidak ada pula kebaikan untuk yang lainnya. Siapa yang Allah S.W.T berikan taufiq, maka Allah S.W.T akan meluruskan jalannya. Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah S.W.T, maka Allah S.W.T akan menolong dan membantunya."


Ya! Orang jahil memang terkenal dengan alasan mereka yang bermacam-macam untuk mempertahankan kejahilan yang dilakukan. Lebih teruk ada yang sanggup mentakwilkan al-Qur'an dan Hadith 'mengikut citarasa hawa nafsu' mereka.

Kita berdebat bukan untuk menang, tapi mencari kebenaran!



2 Oktober 2017M / 12 Muharram 1439H

Ammar Bin Roslan
Timbalan Presiden 1,
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM,
Sesi 2016/2017.

Ulasan