[ Pemuda Generasi Z ]
Islam menekankan para pemuda untuk melaksanakan matlamatnya dan berpegang teguh
kepada prinsip-prinsip Islam supaya menjadi pemuda Islam yang tulen.
• Realiti pemuda masa kini
Generasi masa kini perlu dididik sesuai dengan cabaran di zaman mereka kerana implikasi
dari ketinggalan memahami aspek psikologi agar dapat memupuk generasi yang
bakal mencorak masyarakat.
Perlu kita fahami bahawa pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam
untuk membangunkan dan memakmurkan alam tetapi wujudnya pihak luar yang
mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat. Sesungguhnya masyarakat pada hari
ini sesak dengan pemuda-pemuda tetapi pemuda-pemuda ini hanyalah yang kosong,
hanyut dan terbiar.
Generasi pemuda masa kini adalah generasi yang melalui revolusi informasi. Ia
bukan semata-mata perubahan instrumen informasi, bahkan melibatkan perubahan
proses informasi yang melayakkan ia diterima dalam kalangan masyarakat.
Dari penerapan nilai tersebut, generasi pemuda masa kini tidak suka dikongkong,
bahasa autoriti tidak menarik sokongan mereka bahkan telah menjauhkan. Mereka
sentiasa meminta justifikasi di sebalik setiap ketetapan yang berlaku.
• Apa yang kita perlukan dari kalangan pemuda
Pemuda Islam perlu membuat persiapan untuk memperjuangkan Islam dari segala
aspek terlebih lagi dari segi ilmu dan kefahaman supaya perjuangan itu tidak
terbabas dari landasan atau destinasi yang sepatutnya dituju.
Sebenarnya, matlamat utama persiapan pemuda-pemuda Islam hari ini ialah
untuk melaksanakan matlamat tercapainya Qawamah iaitu penguasaan Islam terhadap
masyarakat dan dunia. Ini memerlukan kepada tugas para pemuda Islam bagi
memindahkan pimpinan umat dari tangan jahiliah ke tangan Islam. Dan juga
memindahkan pemikiran, perundangan dan akhlak jahiliah kepada pemikiran, perundangan
dan akhlak Islam.
• Pendekatan terhadap pemuda
Dalam era langit terbuka, umat perlu mencari platform yang bersesuaian dan
dengan kaedah yang betul dalam menyalurkan maklumat, penerangan dan menarik
sokongan para pemuda.
Seterusnya, perlu mewujudkan nilai toleransi yang tinggi kerana mereka lebih
cenderung kepada perbezaan pandangan dalam apa-apa isu yang diwacanakan secara
matang.
Selain itu, giatkan perbahasan yang kritikal kerana pada masa kini segala
maklumat hanyalah berada di hujung jari. Boleh dikatakan salah jika dikatakan
pemuda kini gemarkan pengisian yang serba santai. Walhal fitrah anak muda itu
suka akan perkara yang mencabar intelektual mereka.
• Kesimpulan
Seharusnya kita melihat dan menyedari pemuda masa kini merupakan generasi pelapis
yang perlu dihargai potensi mereka. Oleh itu, cara terbaik untuk menghargai
mereka adalah dengan membangkit dan menerapkan kesedaran dalam diri mereka
bahawa mereka adalah pencetus pada masa hadapan.
Wallahua'lam.
Rujukan :
1) Kitab Paradigma Muslim
2) Kitab Generasi Pemuda dan Perubahan
- Sedutan Artikel Mahasiswa -
Ulasan
Catat Ulasan