Komunikasi mempunyai tujuan yang
utama iaitu untuk menyampaikan dan memastikan sesuatu mesej sampai kepada
sasaran. Dalam konteks dakwah pula, komunikasi dilakukan bukan sekadar untuk
sasaran mengetahuinya semata, namun juga bagi memastikan sasaran memahami
setiap butiran mesej yang disampaikan agar dapat diaplikasikan dalam kehidupan.
Terdapat beberapa fungsi atau tujuan lain bagi merealisasikan pendekatan dakwah
melalui komunikasi. Antaranya :
1. Menyampaikan
2. Memberi
kefahaman (menerangkan)
3. Mengajak
& menyeru ke jalan kebaikan
4. Khabar
gembira & peringatan (Al-Quran)
5. Amar Ma'ruf
Nahi Munkar
Apabila seorang individu menggunakan pendekatan dakwah dalam berkomunikasi,
komunikasi yang baik akan dapat dibentuk. Antara bentuk kemahiran komunikasi
yang dapat ditingkatkan iaitu melibatkan :
A. Hamba dengan
Penciptanya
Ianya berlaku apabila manusia melaksanakan ibadah, amanah dan tanggungjawabnya.
Pendekatan dakwah dalam komunikasi bukan sahaja dapat mempengaruhi orang lain,
akan tetapi sekiranya dilakukan dengan penuh kesedaran pastinya akan
mempengaruhi dalam aspek pengabdiannya kepada Allah SWT juga. Ianya meliputi
aspek seperti berdoa, solat, berzikir, bertasbih dan membaca Al-Quran.
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌۖ
أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِي وَلۡيُؤۡمِنُواْ
بِي لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ
Maksudnya : _"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku
maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada
mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa
kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu),
dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta
betul."_ [Surah Al-Baqarah:186]
B. Manusia dengan
Manusia (Komunikasi Interpersonal)
Aspek komunikasi sesama manusia pastinya akan memberi pengaruh kepada individu
lain. Dalam aspek ini, ianya akan mempengaruhi pertuturan dan kelakuan
seseorang. Apabila komunikasi sesama manusia berlaku, ia akan melibatkan
beberapa perkara seperti maruah, kerahsiaan, kesabaran dan kepercayaan. Maka
amat penting untuk menjaganya agar matlamat dalam menyampaikan dakwah Islam itu
tercapai.
C. Manusia dengan
dirinya sendiri (Komunikasi Intrapersonal)
Aspek ini melibatkan proses individu berkomunikasi dengan dirinya sendiri
melalui cara berfikir, muhasabah diri dan merenung alam. Aspek ini juga
melibatkan kepada al-qalb , al-ruh , al-aql dan al-nafs.
Perlakuan ini akan membantu dalam pembentukan diri manusia itu sendiri dari
pelbagai aspek. Sekiranya tiada komunikasi yang baik dengan diri sendiri, ia
akan mempengaruhi pembentukan diri seperti sikap, kelakuan, pertuturan dan cara
berfikir.
D. Cabaran Komunikasi
Fasa Online
Dalam fasa pandemik hari ini, kita menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi
secara lisan dan berhadapan. Oleh itu, komunikasi tulisan boleh menjadi salah
satu cara untuk berkomunikasi dalam fasa atas talian. Namun begitu, komunikasi
tulisan dianggap sebagai komunikasi yang mencabar kerana tulisan kita boleh
membawa kepada pelbagai nada bergantung kepada pembaca. Pembaca boleh jadi
tersalah faham dan tersalah tafsir akan isi dan kehendak yang ingin disampaikan
oleh penulis.
Selain itu, kita perlu menyemak tulisan yang ditulis beberapa kali untuk
mengelakkan terdapatnya kesalahan. Hal ini memerlukan kesanggupan kita untuk
meluangkan masa bagi menyemak semula penulisan.
E. Kesimpulan
Interaksi sesama manusia sangat penting untuk menjaga hubungan sesama kita.
Keraplah bertanya khabar serta menjadi pendengar yang baik untuk mengelakkan
sebarang konflik atau salah faham berlaku. Semoga melalui penulisan kita,
dakwah kita masih dapat diteruskan.
Wallahua'lam
Sumber :
1) Komunikasi Dakwah
2) Pengurusan Islam
3) Jalan Dakwah : Antara Keaslian dan Penyelewengan
(Sedutan Artikel Mahasiswa)
Ulasan
Catat Ulasan