Tuesday, 9 July 2013

Muhasabah Menjelang Ramadan

Bulan ramadan adalah tetamu agong yang datang bertandang kepada seluruh umat Islam. setiap apa sahaja yang dilakukan padanya akan mendapat balasan berganda. Begitu juga dengan jaminan pengampunan dosa yang cukup istimewa bagi orang yang melaksanakan tuntutannya dengan penuh keimanan. Sabda Nabi saw,

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dalam keadaan penuh keimanan dan penuh pengharapan, maka akan diampunkan baginya daripada dosa yang telah dilakukan.”

Moga dengan keberkatan Ramadan kali ini, kita akan dapat mengilap kembali hati yang pudar dan melumpuhkan nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin, khususnya mahasiswa Islam dalam proses untuk mendidik nafsu yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata. Tetapi, dengan lapar dan dahaga itu mampu mendidik nafsu dan peribadi kita agar berlandaskan syariat Allah swt.

Terdapat beberapa golongan manusia yang bersama kita pada bulan mulia ini. Selain daripada golongan yang mendapat keampunan dan tarbiyah ini. Terdapat juga golongan yang rugi dan amalannya sia-sia disepanjang Ramadan. Mereka tidak memperolehi apa-apa melainkan hanya lapar dan dahaga. Mereka ialah golongan yang mengabaikan peluang dan keistimewaan yang terdapat di dalam bulan Ramadan. Sabda Rasullah saw,

“Berapa ramai orang yang berpuasa, namun tidak mendapatkan apa-apa melainkan lapar. Dan berapa banyak orang yang solat pada tengah malam tidak mendapatkan apa-apa, selain berjaga malam.” Riwayat al-Nasa’i

Oleh yang demikian, kita perlu melihat dan muhasabah daripada segala aspek kehidupan kita agar tidak tergolong dalam golongan yang sia-sia ini. Bermula daripada perkara yang dilarang oleh agama dan seterusnya. Perkara asas yang wajib diberikan perhatian ialah, memastikan diri kita jauh dan tidak terjebak dari perkara yang dilarang oleh Allah swt. Pandangan mata, lidah, telinga dan lain-lain lagi perlu sentiasa diawasi agar tidak jatuh dalam kemaksiatan kepada Allah swt. Sekiranya tergelincir juga, maka segeralah bangun dan memohon keampunan dariNya.

Demikian juga aspek amalan ibadat. Kita perlu ‘up grade’  amalan ibadat kita daripada bulan-bulan sebelum Ramadan. Tidak sepatutnya bulan yang penuh keistimewaan ini, kita menyamakan amalan kita dengan bulan-bulan sebelumnya. Sekiranya sebelum ini kita jarang membaca al-Quran, maka jadikan bulan ini bulan al-Quran bagi kita. Jadikanlah ianya sebagai satu proses tarbiah untuk lebih dekat kepada penghayatan isinya dengan harapan al-Quran yang kita baca akan menjadi panduan kehidupan.  

Antara amalan yang amat dituntut pada bulan Ramadan ini ialah saling membantu antara saudara seagama. Objektif utama tuntutan ini ialah untuk memastikan kebajikan umat Islam terjaga dan seimbang. Situasi ini tidak akan tercapai melainkan dengan bermula daripada diri kita sendiri. Kita mesti tarbiah diri untuk ringan memberikan pertolongan, makanan dan sebagainya kepada sahabat kita. Amalan mulia ini akan mengeratkan kembali ikatan ukhwah yang dibina selama ini agar terus kukuh dalam mengharungi pelbagai cabaran yang mendatang.

Kesungguhan kita dalam melaksanaakan ibadah dan ‘up grade’ amalan ini, sebenarnya akan menjadikan kita sebagai insan yang berkeperibadian tinggi dan bertakwa kepada Allah swt. Itulah harapan dan matlamat daripada hasil tarbiah Ramadan, yang perlu dititikberatkan oleh mahasiswa Islam khususnya.

Gemilang atau hancur masa depan Islam terletak persoalannya di atas bahu mahasiswa Islam sekarang. Mahasiswa Islam yang kuat ialah mereka yang melalui beberapa proses latihan dan tarbiah. Diantara peringkat latihan dan tarbiah tertinggi ialah melalui tarbiah Ramadan. Semoga kita semua berjaya menempuhi tarbiah madrasah Ramadan kali ini. 



Mohd Hakimi Hamzi Mohd Hayat
Timbalan Presiden 1
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM 2012/13



0 comments:

Post a Comment

Email