Khamis, 30 April 2015

Suara Anak Kandung PAS : Tahniah Buat Pemuda PAS Pulau Pinang


 SUARA ANAK KANDUNG PAS : Tahniah Buat Pemuda PAS Pulau Pinang, Menggesa PAS Pusat Jangan Diamkan isu "Hawaii Five O" & "Audio Mohamad Sabu"

قال الله تعالى :
  أَلَا تُقَٰتِلُونَ قَوْمًا نَّكَثُوٓا۟ أَيْمَٰنَهُمْ وَهَمُّوا۟ بِإِخْرَاجِ ٱلرَّسُولِ وَهُم بَدَءُوكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ ۚ أَتَخْشَوْنَهُمْ ۚ فَٱللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخْشَوْهُ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

"Mengapakah kamu tidak memerangi orang-orang yang merosak sumpah (janjinya), padahal mereka telah keras kemahuannya untuk mengusir Rasul dan merekalah yang pertama mulai memerangi kamu? Mengapakah kamu takut kepada mereka padahal Allah-lah yang berhak untuk kamu takuti, jika kamu benar-benar orang yang beriman."
[Surah At-Taubah ayat 13]

1 - Gempar satu Malaysia apabila keluarnya sidang media daripada Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang berkenaan dengan isu pembekuan jentera Pemuda PAS Pulau Pinang terhadap PRK Permatang Pauh.

2 - Kami mahasiswa/wi Institut Pengajian Tinggi Islam PAS (IPTIP) merakamkan jutaan tahniah buat Pemuda PAS Pulau Pinang yang telah mengambil langkah yang cukup bijak dan berprinsip apabila berdepan dengan situasi genting ketika ini. Satu keputusan yang penuh dengan kehormatan telah dibuat oleh Ustaz Yusni Mat Piah selaku Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, dengan menyatakaan Pemuda PAS Pulau Pinang akur terhadap arahan PAS Pusat untuk membantu gerak kerja PRK Permatang Pauh.

3 - Ustaz Yusni Mat Piah telah membuktikan kepada kita semua bahawasanya arahan jemaah perlu ditaati sekalipun samaada dalam keadaan kita suka ataupun tidak. Bahkan beliau juga sanggup merendahkan diri menghormati konsensus Pakatan Rakyat di saat PKR dan DAP jelas melanggar konsensus yang dimeterai bersama.

4 - Walaubagaimanapun, sebagaimana saranan Timbalan Mursyidul Am PAS iaitu YB Tuan Guru Dato' Ahmad Yakob, AMK perlu memohon maaf kepada PAS kerana telah memfitnah Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di dalam kenyataan mereka sebelum ini sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Pemuda PAS Pulau Pinang.

5 - Pujian juga selayaknya dikalungkan buat Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia dan Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia yang berjaya menyelesaikan masalah ini dengan amat berhikmah dan baik sekali. Kehadiran Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ir Haji Khairil Nizam menjadi penasihat di dalam mesyuarat khas Pemuda PAS Pulau Pinang awal pagi kelmarin nyata amat dihargai. Nyatalah kepimpinan Timbalan dan Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia ini diterima oleh ahli diperingkat akar umbi dan menunjukan dengan jelas kegagalan saudara Suhaizan Kayat, Ketua Pemuda PAS Malaysia menyelesaikan isu yang berlaku.

6 - Akar umbi melihat "Politik Budiman" gagasan saudara Suhaizan Kayat gagal menjadi pendamai di dalam menguruskan konflik bahkan lebih dari itu ianya bersifat diktator dan menghukum apabila beliau pantas bersetuju dengan tindakan tatatertib yang akan diambil kepada Ustaz Yusni Mat Piah sekiranya gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan. Saudara Suhaizan Kayat juga dilihat gagal menyelesaikan masalah agar AMK patuh pada arahan Pemuda PAS Malaysia terhadap keceluparan mereka menghentam Tuan Guru Presiden PAS. Jelas Politik Budiman canangan suadara Suhaizan Kayat dilihat bacul pabila berdepan dengan AMK dan DAP.

7 - Kami juga meminta supaya pihak pimpinan segera menyiasat isu "Hawaii Five O" yang dikepalai oleh Dr Hatta Ramli dan "audio Tuan Haji Mohamad Sabu" yang masih berlegar ketika ini. Siasatan segara wajib dijalankan serta penyelesaian yang tegas harus dilaksanakan terhadap pengkhianatan yang berlaku ini. Cukup tidak adil andai orang yang mempertahankan maruah jemaah segera diancam dengan tindakan sedang pengkhianat kepada jemaah dibiar bebas tanpa sebarang tindakan.

8 - Perumpamaan yang harus direnungi bersama bila rumah terbakar jangan sibuk simbah air kepada asap. Apatah lagi terus menghukum orang yang terperangkap dalam asap. Padahal punca kebakaran dibiarkan sahaja."

9 - Sekali lagi kami mengucapkan tahniah buat Ustaz Yusni Mat Piah, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ir Haji Khairil Nizam serta Pemuda PAS Pulau Pinang atas kebijaksaan dalam menyelesaikan konflik yang telah berlaku. Kami juga menyanjung tinggi ketegasan Pemuda PAS Malaysia terhadap AMK dan perkara ini sangat wajar dimiliki oleh setiap kepimpinan jemaah agar jemaah kita tidak mudah diperkotak-katikan oleh musuh dan rakan.

10 - Tahniah buat Pemuda PAS Pulau Pinang yang diketuai oleh Ustaz Yusni Mat Piah. Moga Allah membantu kalian di dalam perjuangan, Insyallah.

"MAHASISWA IPTIP TERUS ISTIQAMAH BERSAMA KEPIMPINAN ULAMAK"


MUHAMMAD HARITH MOHD NOH
Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa,
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad.
(KUIZM)

AMIRUL IZWAN RUKMAN
Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa,
Kolej Universiti Darul Quran Islamiyah.
(KUDQI)

DANIAL ASRI Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa,
Kolej Islam Darul Ulum.
(KIDU)

Rabu, 1 April 2015

Usah Bersedih Jika Anda Belum Berpunya


Ketika ramai rakan di sekeliling anda mempunyai teman di sisi, anda masih sendiri meniti hari yang mendatang. Tipulah jika tiada rasa cemburu kan?

Kerana fitrah manusia ialah ingin mencintai dan dicintai. Jika anda masih bersendirian, jangan bersedih. Kadang-kadang terlintas di fikiran kita,

“Bahagianya dicintai dan mencintai. Bilalah aku nak rasa macam tu”
“Kenapalah orang lain dah berteman? Aku seorang je yang single”
“Aku ni tak cantik/kacak ke sampai tak ada orang pun nak jatuh cinta dengan aku”
“Tuhan tak sayang aku agaknya. Sebab tu dia tak bagi aku pakwe / makwe macam kawan-kawan aku tu”

Bila kita bersendirian dan masih belum berpunya, bukan bermakna Allah tak sayang kita. Sebab Allah sayang kitalah dia beri kita masa untuk bersendirian. Allah itu menguji kita dengan pelbagai bentuk ujian. Mungkin kita diuji dengan bersendirian dan tiada teman di sisi.

Kawan-kawan kita yang berpunya itu tiada ujiankah?

Mereka juga sedang diuji. Dalam percintaan tidak selamanya bahagia sahaja. Adakalanya mereka bergaduh, berpisah dan sebagainya. Adakah kita nampak ujian yang Allah turunkan itu berbeza buat hambaNYA?

Apabila kita bersendirian, kita dapat menghindarkan perkara-perkara yang menjerumuskan kita ke lembah dosa. Kita takkan terjebak dengan zina mata dan zina hati. Kita takkan terlibat dengan belenggu perasaan.

Tak perlu rasa bimbang jika kekasih hati berubah hati. Mungkin anda belum berteman kerana anda belum bersedia. Bercinta bermakna anda perlu bersedia untuk dicintai dan bersedia untuk dilukai. Mungkin jika anda berteman sekarang, anda tidak mampu fokus dalam pelajaran. Mungkin juga jika anda berteman sekarang, emosi anda akan selalu terganggu. Sebab itulah, Allah memberikan masa untuk anda bersendirian dan berdikari menempuh ranjau kehidupan ini.

Kita hanya mampu merancang kehidupan ini, tapi jangan lupa bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang.

Jika Allah memakbulkan doamu, itu tandanya sayangnya Allah kepadamu.
Jika Allah belum memakbulkan doamu, itu tandanya ujian Allah buatmu.
Jika Allah tidak memakbulkan doamu, itu tandanya perancangan Allah lebih baik untuk masa depanmu.

Oleh itu, tak perlulah risau mengenai jodoh. Bila tiba dan waktu yang sesuai, anda pasti akan bertemunya. Jodoh kita sudah tertulis sejak azali. Teruskan berdoa semoga anda cepat bertemu jodoh yang ditentukan Allah. Yang penting teruskan memperbaiki diri supaya kita dapat jodoh yang baik.

Ahmad Syifa Abd Rahim,
Mahasiswa KUIZM.