Ahad, 30 Mac 2014

Ajal Tidak Menunggu Taubatmu



وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya : dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu Berjaya.
( surah An-nur ayat 31 )

Setiap manusia, setiap anak cucu Adam pastinya melakukan kesilapan dalam melayari bahtera kehidupan. Akan tetapi Allah s.w.t  itu bersifat maha Pengasih, Penyayang dan banyak lagi sifat-sifatNya yang berbentuk ihsan. Dengan itu kita diberi peluang untuk bertaubat di atas setiap kesalahan yang kita lakukan. Satu kisah yang sangat familiar di telinga-telinga kita, diriwayatkan oleh Imam Muslim tentang seorang pembunuh yang telah membunuh 100 nyawa manusia ingin bertaubat dan akhirnya mati di dalam perjalanan menuju taubat, dengan izin Allah taubatnya di terima walaupun mati dalam keadaan belum sempat bertaubat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : “ wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya. Sesungguhnya aku bertaubat 100 kali dalam sehari.
( Hadis riwayat Muslim )

Bayangkanlah wahai sahabat sekalian, jika seorang kekasih Allah, seorang Rasulullah yang berakhlak mulia juga bersifat maksum  serta dijamin keampunan Allah bagi dosa-dosa yang terdahulu mahupun akan datang pun bertaubat 100 kali sehari! Apa lagi kita yang bukan bersifat maksum, kedudukan di sisi Allah hanya sebagai hamba, adakah kita tidak memerlukan taubat untuk mendapatkan magrifatullah?

Allah s.w.t yang bersifat Al- Ghaffar (Maha Pengampun) dan bersifat At-Tawwab (Mana Penerima Taubat) pasti akan menerima taubat hambanya yang benar-benar menyesali kesalahannya, dengan taubat yang sebenar-benarnya iaitu Taubat Nasuhah. Tetapi bagi mereka yang bertaubat, kemudian melakukan kemungkaran dianggap mempermainkan taubat itu sendiri.

Dalam realiti kehidupan hari ini ramai manusia yang hanyut dengan keseronokkan dunia sehingga lupa pada tanggungjawab kita sebagai hamba untuk mengabdikan diri kepada Tuhan yang menciptakan kita. Dalam masa yang sama kita tidak dapat menjamin jangka masa hayat kita di dunia yang sementara, dengan bahasa yang mudah adakah kita pasti kita boleh hidup seperti hari ini pada esok hari? Bahkan, jika kita hidup di waktu pagi adakah kita pasti kita akan hidup pada waktu petang? Kesemua soalan itu kita tidak dapat menjawabnya kerana ajal dan maut itu ketentuaan Ilahi.

Allah s.w.t berfirman :
فَتَابَ عَلَيْكُمْ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Maksudnya : Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

( Surah Al-Baqarah ayat 57 )


Demikian adalah kalam Allah yang tertulis di dalam Al-quran yang boleh kita pegang sebagai janji untuk orang-orang yang bertaubat. Jadi, marilah kita persiapkan bekalan akhirat seperti kita mempersiapkan diri kita akan mati pada esok hari. 


Arinil Hidayah Binti Mohamad Kassim

Timb. Ketua Lajnah Kebajikan Dan Penempatan MPM KUIZM 2013/14

Selasa, 25 Mac 2014

Mengecam Tindakan Mahkamah Firaun Mesir

Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (MPMK) mengecam sekeras-kerasnya hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Mesir ke atas 529 orang ahli Ikhwanul Muslimin dan penyokong Presiden Mesir yang dipilih secara sah menerusi pilihanraya dan sistem demokrasi, Dr Mohamad Morsi.

Hukuman mati ini merupakan satu titik hitam di dalam sejarah moden dunia dan merupakan satu langkah mundur ke belakang yang diambil oleh kerajaan rampasan tentera Mesir. Kita mengharapkan agar negara-negara Islam dan kerajaan Malaysia khususnya bertindak tegas menyatakan bantahan terhadap tindakan zalim ini.

Kerajaan perampas Mesir yang dipimpin oleh Jeneral Abdul Fatah As-sisi yang telah sewenang-wenangnya mencampuri urusan kehakiman. Hukuman mati yang dijatuhkan hari ini juga merupakan satu isyarat bahawa Mesir sedang kembali ke era pemerintahan tentera yang pernah menyaksikan demokrasi di negara ini berkubur selama berdekad lamanya.

Bermula apabila Dr Morsi memenangi pilihanraya pada pertengahan tahun 2012 namun tidak kekal lama apabila tentera kembali merampas kuasa setahun kemudiannya. Berasaskan kepada hukuman mati yang dijatuhkan pada hari ini, tidak mustahil 682 lagi penyokong Morsi yang sedang menunggu giliran juga akan menerima nasib yang sama.

Langkah yang dilakukan oleh mahkamah Mesir ini hanya akan menyemarakkan lagi kebangkitan rakyat untuk meruntuhkan kezaliman melalui pelbagai gerakan samada secara jelas mahupun tersembunyi. Tiada siapa yang untung apabila berlaku konflik yang berpanjangan hanya semata-mata kerana Tentera enggan tunduk kepada proses demokrasi. Jeneral Tentera Abdul Fatah As-sisi dan pimpinan kerajaan sementara yang tidak sah mesti bertanggungjawab di atas darah yang telah ditumpahkan oleh tangan-tangan mereka.

Penindasan ini mesti dikecam melalui apa cara sekalipun. Cubaan untuk menjustifikasikan rampasan kuasa atas 'sebab-sebab aneh' seperti kelemahan pentadbiran Morsi, dan protes oleh jutaan rakyat Mesir adalah cetek dan sangat subjektif. Justeru MPMK menegaskan bahawa sebarang tindakan yang mencerobohi ruang demokrasi wajib dikutuk oleh seluruh dunia lebih-lebih lagi negara-negara Islam termasuklah Malaysia yang bernaung di bawah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).




Ahmad Syifa Abd Rahim
Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM 

Selasa, 4 Mac 2014

Hiasi Diri Dengan Akhlak Yang Mulia


Kemulian akhlak adalah menjadi matlamat utama bagi ajaran Islam, dengan mempunyai akhlak yang mulia, segala yang dilakukan akan menjadi perkara yang mudah diterima dan disenangi oleh manusia lain sekitarnya. Membentuk akhlak yang baik adalah menjadi asas kepada setiap individu muslim, tujuan asas Allah swt mengutuskan rasulullah saw adalah untuk memperbaiki dan membentuk akhlak umat manusia,

“sesungguhnya aku di utuskan untuk menyempurnakan akhlak”

Kemulian akhlak adalah tanda keimanan seseorang, apabila kita mampu menjadikan pengamalan akhlak yang baik didalam kehidupan, maka kita sudah berjaya membentuk sebuah identiti Islam yang bertepatan dengan kehendak Allah swt dan Rasulullah saw.

Pembentukan akhlak yang mulia bermula dengan disiplin diri yang sentiasa diurus dengan baik, berdidiplin didalam hal-hal keduniaan dan hal-hal berkaitan ibadah kepada Allah swt, maka dari pengurusan yang baik itu akan menghasilkan pembentukan akhlak.

Rasulullah saw pernah ditanya tentang apakah yang dikatakan agama, maka baginda saw menjawab “kemulian akhlak” dan apabila ditanya tentang kejahatan, baginda saw menjawab “ akhlak yang buruk”, kita dapat melihat dengan jelas bahawa dengan menzahirkan akhlak yang baik, maka kita telahpun menzahirkan mesej Islam secara langsung.sabda rasulullah saw:

“tidak ada sesuatu yang lebih berat di atas neraca timbangan
seseorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang baik

akhlak yang mulia merupakan amalan yang paling berat dalam timbangan di hari kiamat nanti, oleh itu sesiapa yang sentiasa mempamerkan keburukan akhlak sudah semestinya menjadi sebuah kerugian dalam pelaburan kehidupannya sendiri.

Menurut al-marhum Dr Fathi Yakan didalam buku karangannya Apa Ertinya Saya Menganut Islam, beliau telah menggariskan sifat-sifat yang dikatakan akhlak seorang muslim.

1.Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara syubhat.

Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinyadari segala yang yang dilarang oleh Allah dan mengelak daripada melakukan perkara yang samar-samar di Antara halal dan haram.

2.Memelihara pandangan

Memelihara pandangan dari perkara yang akan mendatangkan mudharat pada hati adalah menajadi tuntutan didalam pembentukan akhlak yang mulia.

3.Memelihara lidah

Seseorang muslim mestilah sentiasa menjaga lidahnya dari menyebut perkara-perkara yang berkaitan dengan dosa seperti mengumpat, mengadu domba, memfitnah, mengeji dan sebagainya.

4.Bersifat pemalu

Seseorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan, namun sifat itu tidak seharusnya menjadi penghalang daripada memperkatakan kebenaran.

5.Bersifat lemah-lembut dan sabar

Di antara sifat yang wajib tertanam didalam setiap diri individu muslim ialah sifat sabar dan berlemah-lembut kerana kerja-keja untuk Islam akan berhadapan dengan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan dan sangat menuntut untuk kita sentiasa bersifat sabar.

Jelaslah kepada kita bahawa memiliki akhlak yang baik adalah perkara yang sangat perlu dititik-beratkan didalam agenda kehidupan kita, berusahalah bersungguh-sungguh dalam membentuk akhlak yang baik didalam diri, ianya akan sentiasa menjadi ujian yang sungguh mencabar. Setiap usaha yang dilakukan pastinya akan memiliki nilai yang tinggi disisi Allah swt, jangan mudah putus-asa dan kecewa dalam usaha memperbaiki diri kearah taqwa kepada Allah swt.

Yang Indah itu Bahasa, Yang Molek itu Pekerti.

Nurul Asyikin Md Azli
Timb. Bendahari Kehormat MPMK 2013/14