Jumaat, 30 Ogos 2013

Muhasabah Erti Kemerdekaan




Pada suatu ketika 31 Ogos 1957 , Stadium Merdeka bergema dengan laungan “merdeka, merdeka, merdeka” oleh Tunku Abdul Rahman. Tanah Melayu telah pun merdeka dari penjajahan British ketika itu.

Sekarang adakah benar-benar kita ini merdeka dari segala penjajahan? Bangsa yang menjajah negara ini telah lama pergi, namun mereka meninggalkan ‘sesuatu’ yang masih membelenggu kehidupan kita pada hari ini. Sistem pendidikan, sistem ekonomi, sistem kewangan, sistem budaya. Tidak keterlaluan dikatakan umat Islam telah terbelakang dalam menghadapi perkembangan semua sistem ini. Kerana semua sistem ini digunakan secara halus mahupun kasar untuk menekan hidup kita semua sebagai rakyat merdeka dari pelbagai aspek samada fizikal mahupun rohani. Dari sudut fizikal kita jauh ketinggalan, dari sudut rohani kita kosong bakal mengundang murka Tuhan.

Terbelenggu dalam khayalan dunia yang sementara. Terikat dengan hawa nafsu dan jalan yang dipimpin Syaitan. Mementingkan pandangan dan penghormatan manusia dari memikirkan pandangan Tuhan kepadanya. Tujuan hidup kabur di hadapan, hanya menurut perubahan zaman yang makin merenggut nilai Islam dan keimanan.

Layakkah kita melaungkan ‘merdeka’ tatkala negara kita dilanda pelbagai krisis dan masalah? Ya, dimana-mana pun akan ada masalah. Kita tidak akan sekali-kali dapat lari dari masalah. Namun barang diingat, masalah yang menimpa kita adalah akibat kesombongan kita sendiri yang cuba untuk tidak berpegang dengan aturan Tuhan. Bala yang Allah taala timpakan keatas kita bukan berbentuk runtuhan tanah tetapi bala itu datang dalam bentuk runtuhan akhlak.

Dimanakah merdeka? Jika sebahagian anak-anak muda Islam hidup tak tentu hala. di jalanan mereka merempit, di pusat serenti mereka melalui pemulihan dari najis dadah, sebahagian dari mereka pula di pusat perlindungan remaja akibat terlanjur, sebahagian lagi di sekolah pemulihan akhlak kerana salah tingkah. Sungguh sedikit golongan remaja yang benar-benar terpelihara pada zaman ini.

Dimanakah keadilan? Jika Pentadbiran kerajaan pun penuh dengan kebobrokan. Dimanakah keamanan? Jika statistik jenayah berat kian meningkat saban tahun. Dimanakah kedamaian? Jika intistusi kekeluargaan pun tidak lagi menjadi tempat teduh yang membangun jiwa, namun runtuh satu persatu tidak tahan dugaan dan godaan zaman. Sungguh! Kita masih belum merdeka. Semua ini berlaku gara-gara kesombongan kita juga. Moga ini bukan sekadar keluhan, namun menjadi peringatan untuk terus menguatkan diri dengan ilmu dan Iman. Hingga mampu mengajak diri sendiri dan orang lain kepada kebaikan, menjauhi segala kemungkaran.

Perkongsian ini sekadar menjemput kita semua muhasabah erti merdeka dari nilaian Iman dan Islam. Kepada para pelajar, menuntut ilmu bukan sekadar untuk mendapat segulung ijazah atau sesuatu pekerjaan, namun dengan ilmu itu kita ingin mengangkat potensi diri dalam menyumbang kepada ummah. Diri harus bebas merdeka dari ilmu yang makin menjauhkan hamba dari Pencipta.

Kepada yang bekerja, bekerja bukan hanya untuk mendapat imbuhan gaji setiap bulan, namun sesuatu kerjaya itu biarlah menjadi medan ibadah yang luas dalam menjalani kehidupan sebagai hamba dan khalifah Allah. Interaksi di tempat kerja atau apapun urusan pekerjaan, sentiasa diluruskan niat dan caranya agar diredhai Tuhan. Diri harus merdeka dari kerjaya yang perlu mengorbankan syariat Allah.

Kepada pasangan suami dan isteri, berkahwin bukan sekadar untuk melunaskan kehendak nafsu dan perasaan, namun dipanjangkan niat agar melahirkan umat Islam yang komited dan berwawasan. Perkahwinan menjadi wasilah untuk diri mencorak keluarga yang baru, yang penuh nilai-nilai Islam. Keluarga harus merdeka dari mengikuti budaya hidup yang bukan menepati kehendak Islam.

Kesimpulannya, kita semua adalah insan berjiwa merdeka jika sekiranya kita mengatur dan mengubah pemikiran, perasaan, tingkahlaku dan kebiasaan hidup kepada jalan yang dipandu al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk agung dari kita mengikuti suatu sistem dan budaya yang menyimpang jauh dari landasan Syariat Allah.

Di luar sana ada banyak lagi peringatan yang elok untuk kita renungkan dari pelbagai sudut pandang yang berbeza. Semoga kemerdekaan kali ini membuatkan kita merenung jauh dan lebih berfikir panjang apakah erti kemerdekaan yang sebenarnya.

MPM KUIZM mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 56. Merdekalah kita semua dari segenap segi dipagari syariat Ilahi. Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Admin.


Khamis, 22 Ogos 2013

Benarkah Kita Berjuang?


Benarkah kita berjuang?  kalau hanya mengisi borang dan mendaftar diri sebagai anggota jamaah Islam tetapi gagal untuk komited [iltizam] dengan segala aktiviti amal jamaei yang dianjurkan oleh jamaah. Kita hanya mampu mentarbiyah tetapi tidak boleh ditarbiyah. Mampu mengarah tetapi tidak boleh diarah. Mampu menegur tetapi tidak boleh ditegur.


Benarkah kita berjuang? dengan hanya semata - mata kerap menghadhiri ceramah - ceramah umum tetapi liat untuk hadir dan menekuni program - program khusus seperti usrah, liqa fikri, tamrin, mukhayyam dan pelbagai aktiviti spiritual seperti qiamulail, al mathurat dan zikrullah. Program ceramah dilihat lebih penting sebab kita dapat publisiti sedang usrah ni hanya dihadhiri oleh 10 orang, tidak glamour langsung!

Benarkah kita berjuang? apabila kita selalu sahaja gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah digalaskan ke atas pundak kita sebagai pimpinan jamaah walau dimana peringkat posisi kepimpinan kita. Mesyuarat sering tidak hadhir dan kalau pun hadhir hanya dengan kepala kosong. Lebih malang, ada mesyuarat dalam mesyuarat dan ada mesyuarat selepas mesyuarat.

Benarkah kita berjuang? wala' atau taat setia kita telah berbelah bahagi, bukan lagi kepada pimpinan jamaah tetapi di sana ada individu berpengaruh dan ia berada di luar jamaah yang sangat kita kagum karektornya. Sedang pimpinan kita sendiri dilihat kolot dan tidak hebat. Kita tidak berdiri teguh di belakang pimpinan kita sebaliknya kita teguh berdiri dan menyokong pemimpin dari luar jamaah kita sendiri.

Benarkah kita berjuang? ibadah kita kurang. Hubungan kita dengan Allah swt jauh. Gagal solat berjamaah dan membaca al quran pada kekerapan yang lebih berbanding orang awam. Kehalusan budi dan ketulusan hati tidak kita dimiliki. Ucapan kita menampakkan kesombongan dan tindakan kita tidak berhemah. Suka pandang rendah pada orang lain jauh sekali mahu menghormati mereka.

Ya Allah! benarkah kita ni berjuang? atau kita selama ini hanya bermain dan menambah beban dosa dalam perjuangan buat diri kita sendiri.

Sahabat ku semua, marilah kita bermuhasabah agar kita dekat dengan Allah swt dan kita segera diberikan nusrahNya. Insyaallah, muhasabah ini akan memulihkan hubungan kita yang retak, perjuangan kita yang tergugat, dan kedudukan kita yang kian jauh dari Allah swt.

Selamat berjuang sahabat ku!



Oleh, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Ketua Pemuda PAS Malaysia


Admin.

Isnin, 12 Ogos 2013

Hamba Rabbani Bukan Hamba Ramadhani

ALHAMDULILLAH, dapat lagi kita merayakan Aidilfitri yang mulia. Kali ini semuanya baru pakaian baru, rumah baru tetapi yang lebih penting ialah jiwa baru selepas melalui proses tarbiah daripada madrasah Ramadan lalu.Semoga puasa, sedekah, solat sunat Tarawih, bacaan al-Quran kita berjaya menjadi perisai kepada hati yang keras ini daripada sebarang bentuk musibah dan bahaya.

Sebagai muhasabah dalam merayakan Lebaran ini, kejayaan puasa kita sebenarnya diukur selepas kita melewati bulan Ramadan. Ada orang sepanjang Ramadan pergi ke masjid dan surau, tetapi selesai Ramadan, perkara itu tidak lagi dilakukan maka itu namanya ‘hamba Ramadan’ bukannya hamba Allah.

Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan. “Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan” maksudnya berbuat baik bukan hanya bermusim. Pergi masjid bukan ikut selera kita atau melihat orang ramai ke sana kita pun pergi. Kenapa kita hanya bersemangat pada bulan Ramadan? Oleh itu, marilah kita jadikan semangat serta kesungguhan di bulan Ramadan sebagai ‘percikan’ bagi meneruskan kerajinan pada 11 bulan mendatang.

Dalam suasana berhari raya di mana rumah terbuka sedang rancak di sana sini janganlah pula rumah Allah tertutup. Pada Syawal ini juga disediakan ‘pakej’ pahala pelengkap kepada puasa Ramadan. Pakej ini menggambarkan kelebihan umat Muhammad s.a.w, iaitu boleh mendapat kelebihan seolah-olah berpuasa setahun. Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya. “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun". (Hadis riwayat Imam Muslim).

Justeru itu, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang berkurangan atau cacat dalam amalan fardu. Menurut hukum fiqah, kita boleh memulakan puasa enam pada mana-mana hari sepanjang Syawal sama ada secara berterusan atau berselang seli. Namun, afdalnya ialah pada hari kedua Syawal dan dilakukan secara berterusan sehingga hari ketujuh. Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadan, puasa enam memberi peluang kepada mereka untuk menggantikannya disamping mendapat pahala puasa sunat.

Semoga dengan tarbiah yang diberikan oleh Allah s.w.t sepanjang Ramadan dapat kita susuli pula dengan puasa sunat Syawal. Semoga dapat kita hayati dan kita amalkan dalam kehidupan kita seterusnya menjadi muslim yang benar-benar sejati.




Mohd Syafie Md Yunos
Presiden 
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM 2012/13



Isnin, 5 Ogos 2013

Mencari Kemuliaan Taqarrub Oleh Seorang Anggota Gerakan Islam


l





1. Kebiasaan orang melayu yang beragama Islam di negara kita ini akan pancit di akhir Ramadhan, 
sedang Nabi saw mengajar kita supaya memperbanyakkan ibadah di 10 akhir Ramadhan. Barangkali kerana di dorong oleh mood aidilfitri pula dimeriahkan dengan rancangan-rancangan mengasyikkan di televisyen.

2. Masjid dan surau akan kembali lengang dan jamaah semakin berkurang menjelang akhir Ramadhan. Tumpuan mula teralih kepada persiapan menyambut hari raya secara berlebihan. Objektif Ramadhan hilang begitu sahaja. ini adalah suatu fenomena yang merugikan ummat Islam dan perjuangannya.

Firman Allah swt:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (Surah al Qadar . Ayat : 1 – 5)

3. Malam yang dikenali sebagai “Lailatul Qadar” adalah merupakan malam terbaik bahkan malam yang paling mulia disediakan oleh Allah ‘semalam dalam tempoh setahun’ .

Sabda Rasulullah saw :[1]

“ dan barangsiapa yang mendirikan ( ibadah ) pada malam lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan penghayatan (mengharapkan redho Allah) nescaya diampunkan baginya segala dosa–dosanya yang telah lalu.”
(Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

4. Al Imam an Nawawi rhm menyebut [2]: “ Lailatul Qadar adalah seafdhal–afdhal malam di dalam setahun. Barangsiapa yang mengadakan ibadah (qiamullail) pada malam Lailatul Qadar sekalipun ia tidak diberi taufiq untuk menyaksikan alamat–alamat Lailatul Qadar, nescaya ia dibalas dengan balasan yang tersebut.”

Rebutlah Peluang Taqarrub ini.

5. Setiap individu muslim yang menyertai Madrasah atau University of Ramadhan ini , sangat dituntut untuk mencari dan mendapatkan kelebihan malam Lailatul Qadar ini . Ia menjadi sunnah nabi kita Muhammad saw. dan juga menjadi amalan dan rebutan para salafussoleh untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Rasulullah saw pernah bersabda :[3]

“ daripada A’isyah Rha berkata : Adalah rasulullah saw. selalu beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan dan baginda saw. bersabda ; Rebutlah bersungguh – sungguh peluang untuk mendapatkan Lailatul Qadar pada malam–malam sepuluh akhir Ramadhan .” (Riwayat Imam Bukhari)

6. Rasulullah saw. melipat ganda amalan atau ibadah untuk menghampirkan diri kepada Allah swt. pada 10 malam akhir di bulan Ramadhan . Ini dapat dilihat dalam satu hadith yang diriwayat dari A’isyah Rha .[4]

“ dari A’isyah Rha berkata : adalah Nabi saw. apabila memasuki 10 akhir Ramadhan , Baginda bersungguh–sungguh mengerjakan ibadah dan menghidupkan malamnya dan menggerakkan anak isterinya (agar bangun beribadah)” (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Taqarrub sebagai Jambatan Nusrah.

7. Golongan yang hampir dan dikasihi Allah swt. sepantasnya layak menerima pertolongan dan kemenangan dalam perjuangannya untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Tentunya kita sangat memerlukan pertolongan dan kemenangan tersebut di kala dunia kini gersang dari rahmat Ilahi.

8. Tidak mudah untuk merentasi medan yang penuh cabaran dan rintangan ini melainkan pejuang yang diperkayakan dengan taufiq dan nusrah ilahi , namun untuk mendapatkan taufiq dan nusrah malah anugerah syurga itu pula hanya terbuka kepada mereka yang hampirkan diri kepada Allah swt .

“ Dan (puak Yang ketiga pula ialah) orang-orang Yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), - Yang akan mendahului (mencapai balasan Yang sebaik-baiknya di akhirat kelak) Mereka itulah orang-orang Yang dihampirkan (di sisi Allah), (Tinggal menetap) di Dalam Syurga-syurga Yang penuh nikmat.” (Surah al Waaqia’h . Ayat : 10–12)

[1] Imam Bukhari di dalam sohihnya : 253 / 2 dan Imam Muslim di dalam sohihnya 524 /1 
[2] Raudhah at Tolibin 389 / 2 dan Fathul Baari 267 / 4 
[3] Sohih Bukhari : 254 / 2 
[4] Sohih Imam Bukhari : 255 / 2 dan Sohih Imam Muslim : 832 / 2


Oleh Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat


Admin.