Isnin, 30 Mac 2015

Solidariti Buat PMRAM : Mahasiswa KUIZM Teguh Bersama PMRAM

 
1 - Khabar pilu menjelma hari ini, teman-teman seperjuangan di Perlembahan Nil sedang bermuktamar dalam Persidangan Khas PMRAM.

2 - Dalam ucapan Presiden PMRAM pada Persidangan Khas tersebut, beliau telah memaklumkan bahawasanya Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah dibekukan.

3 - Lantaran itu kami di peringkat Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (MPM KUIZM), menerima berita yang amat mendukacitakan ini dengan perasaan yang cukup hiba.

4 - PMRAM yang sudahpun mencapai usia 85 tahun itu telah memberitahu dunia bahawa para kadernya telah menjelajah ke seantero dunia amnya ataupun Malaysia khususnya, menebarkan risalah perjuangan Islam.

5 - Amat menyedihkan andai gerakan mahasiswa yang amat berjasa buat tanah air kita ini dibekukan daripada menjalankan operasinya.

6 - Cukup malang lagi ianya berlaku saat obor perjuangan Islam di negara kita ini kian marak membakar.

7 - Maka dengan ini, Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (MPM KUIZM) mengutuk sekeras-kerasnya, andai di sana adanya golongan yang cuba bertindak bagi mengharamkan PMRAM.

8 - Kami juga pastinya akan membantu sehabis mampu untuk memastikan rakan-rakan kami di PMRAM dapat meneruskan survival gerakan mahasiswa yang cukup ulung itu.

9 - Ayuh teman-teman, kita sama-sama menunjukkan solidariti kita buat mereka dengan kita bermunajat serta berdoa kepada Allah SWT agar Sang Pencipta menyelamatkan perjuangan PMRAM di Mesir daripada fitnah dan kerja jahat daripada orang-orang yang dengkikan kebangkitan Islam dan mahasiswa.

10 - Semoga Allah memberikan kekuatan dan kesabaran buat Presiden PMRAM, saudara Hanifulfuad Hussin dan juga kepada barisan kepimpinan Badan Pengurus PMRAM untuk terus berdepan dengan ujian yang getir ini.

11 - Sesungguhnya pertolongan Allah itu akan senantiasa ada buat golongan yang telah dizalimi.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ
اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah Al-Maidah ayat 8)

Salam perjuangan buat PMRAM.

"BERSAMA BANGKIT MENERJANG KEBATILAN, BERSATU BANGKIT DEMI ISLAM"
MUHAMMAD HARITH BIN MOHD NOH




Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad.
2014/2015

Ahad, 29 Mac 2015

Kecaman Al-Qur'an Kepada Pembaca Al-Qur'an



Al-quran mengecam mereka yang tidak mengunakan akal untuk menghayati al-quran. Mereka itu telah tertutup hatinya.Allah s.w.t. berfirman dalam surah Muhammad ayat 24.
 
"(setelah diterangkan Yang demikian) maka Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?"

Alangkah malangnya kita jika mendapat teguran penghinaan daripada Allah s.w.t. seperti yang terjadi kepada ummat yang terdahulu,menerusi ayat-Nya dalam surah al-baqarah ayat ke 78.  

"dan di antara mereka pula ada orang-orang Yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja."

Salah satu pandangan yang dikemukankan oleh tafsir zad a-masir adalah kejahilan yang berlaku sehingga mengakibatkan kegagalan memahami kandungan al-quran itu sendiri. Ibn ‘Abbas mentafsirkan kalimah ‘ummiy’ dengan erti tidak mengetahui makna pesan-pesan Allah walaupun boleh jadi mereka menghafalnya. Perkara ini turut merujuk pada kebodohan laksana keldai yang mendapat kitab-kitab tanpa mendapat manfaat  lansung daripadanya.Allah taala berfirman dalam surah al-jumuah ayat 5.

"(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan Dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) Yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai Yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). buruk sungguh bandingan kaum Yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum Yang zalim."


Admin.

Isnin, 23 Mac 2015

Deklarasi Rusila 2015


Implikasi daripada perbincangan kolektif para perwakilan dalam Persidangan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah pada 20-21 Mac 2015 yang diwakili perwakilan 41 buah Negara. Maka dengan ini, kami mengisyitiharkan resolusi persidangan yang dinamakan sebagai Deklarasi Rusila 2015 seperti berikut:

Isu Palestin:

1. Perlunya sebuah struktur penyelarasan yang lebih berkesan dengan mewujudkan sebuah Pusat Penyelarasan Bantuan Palestin Global dan Pusat-Pusat Penyelarasan Bantuan Palestin di pelbagai wilayah yang sesuai dengan peranan utama iaitu:
a. Penyelarasan bantuan fizikal dan dana.
b. Penyelarasan pembangunan dan pendidikan semula Palestin.
c. Penyelarasan aktiviti pembangunan pendidikan rakyat Palestin.


2. Mencadangkan agar Pusat Penyelarasan Bantuan Palestin Global atau Global Coordination Center For Palestinian Aid(GCCPA) adalah ditempatkan di Turki.

3. Menyeru supaya Kesatuan Ulamak Sedunia memainkan peranan yang efektif sebagai wadah yang memayungi pusat-pusat penyelerasan tersebut dan melantik jawatankuasa Protem dariapada kalangan wakil-wakil gerakan Islam.

Kebajikan Muslim minoriti dan Jaringan sivil:


1. Gerakan Islam di seluruh dunia mengiktiraf badan gabungan NGO-NGO Kebajikan Gerakan Islam sebagai badan penyelaras di peringkat global di bawah Kesatuan Ulamak Sedunia.

2. Bersetuju agar skop utama badan penyelaras tersebut merangkumi pusat:
a. Penyelarasan bantuan.
b. Penyelarasan pengumpulan dan pengagihan dana.
c. Penyebaran maklumat.
d. Penyelarasan pembangunan masyarakat dari pelbagai aspek termasuk kebajikan, pendidikan, kemahiran, ekonomi dan lain-lain.
e. Latihan menanggani “bencana dan pemulihan”


3. Menyatakan kesatuan dan dokongan sepenuhnya dengan kejerihan umat Islam tertindas di Kashmir, Nepal dan Arakan. Ini termasuk hak pemberdayaan sendiri bagi rakyat Kashmir sebagaimana termaktub dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

4. Membangunakan pengkalan data bagi semua NGO Islam yang terlibat dalam aktiviti kebajikan dan lain-lain bagi masyarakat Muslim minoriti.

5. Membangunkan Peta Muslim sedunia yang terkini.

6. Menjadikan Malaysia sebagai sekretariat badan penyelaras.

Pengupayaan Dakwah di Negara Umat Islam


1. Membangunkan Pusat Pembangunan Insan(Human Development Centers) di bawah Kesatuan Ulamak Islam Sedunia bagi mengambil tanggungjawab berikut:
i. Melatih aktivis dakwah dengan ilmu dan kemahiran yang komprehensif dan menyeluruh.
ii. Menjadi pusat penyebaran pemahaman Islam yang sebenar dan sekaligus membentuk imej Islam yang positif.
iii. Pusat penyelarasan maklumat aktiviti dakwah antarabangsa.


2. Mewujudkan Pusat Pembangunan Insan serantau di Afrika Tengah, Asia Selatan, Timur jauh, Asia Tengah dan Balkan.

3. Membangunkan platform bagi jaringan aktiviti dakwah global dalam bentuk sebuah persidangan dakwah antarabangsa.

4. Menjadikan Malaysia sebagai sektetariat Pembangunan Insan Islam Global.


------
Deklarasi Rusila 2015 diumumkan pada 21 Mac 2015 di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Terengganu oleh Pengarah Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-3/2015, Tuan Haji Hussin bin Ismail.

Ahad, 22 Mac 2015

As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin : Tokoh Pembebasan Bumi Palestin

Lelaki berkerusi roda ini telah menggoncangkan dunia untuk membebaskan Bumi Palestin sehingga pembunuhan beliau telah dirancang dengan rapi dan kejam. Jenazah As Syahid hancur. Hari ini 22 Mac maka genaplah 11 tahun pemergian As Syahid. Hari ini ku bawakan kembali pesanan As Syahid kepada Kita. Maka kita renungkanlah sedalam-dalamnya :-


 "WAHAI anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada ALLAH swt dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kamu.

TELAH tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh secara berjemaah. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad saw.

AKU menyeru kamu wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya. Lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku, untuk mendekat diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.

WAHAI para Pemuda, aku ingin kamu menyedari dan menghayati makna tanggungjawab. Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh kesah. Aku menyeru kamu untuk menghadap ALLAH SWT dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kamu. Aku menyeru kamu supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.

AKU ingin kamu tidak tertidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantikannya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada ALLAH. Wahai anak-anakku, aku amat berharap kamu tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat.

WAHAI Puteriku , aku ingin kamu berjanji kepada ALLAH akan mengenakan hijab secara jujur dan betul. Aku meminta kamu berjanji kepada ALLAH bahawa kamu akan mengambil peduli tentang agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kamu, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kamu. Haram hukumnya bagi kamu untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda supaya mendekati kalian.

KEPADA semua, aku ingin kalian bersiap sedia untuk menghadapi segala sesuatu yang akan datang. Bersiaplah dgn agama dan ilmu pengetahuan. Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah. Belajarlah bagaimana hidup dlm kegelapan yang pekat. Latihlah diri kalian agar dapat hidup tanpa elektrik dan peralatan elektronik. Latihlah diri kalian untuk sementara waktu merasakan kehidupan yang sukar.

BIASAKAN diri kalian agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan. Berpeganglah kepada agama kalian. Carilah sebab-sebabnya dan tawakal kepada ALLAH.".
Luqman Daud

Ahad, 15 Mac 2015

Seminar Fiqh Sab'ah II Bakal Menyusul

Bersyukur kepada Allah SWT atas kesempatan yang sangat besar ini, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) telah pun berjaya mengadakan Seminar Fiqh Sab'ah pada 07 Mac 2015 yang lepas.



Seminar Fiqh Sab'ah yang diadakan julung kali ini memfokuskan kepada perbahasan tujuh jenis Fiqh yang sangat penting untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat yang ada pada hari ini.

Tujuh jenis Fiqh tersebut termasuklah Fiqh Nusus, Fiqh Ikhtilaf, Fiqh Awlawiyyat, Fiqh Waqie, Fiqh Taghyir, Fiqh Maqasid dan Fiqh Dakwah.



Seminar ini telah pun dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat, dengan jumlah yang hadir keseluruhannya hampir mencecah 1000 orang peserta, alhamdulillah.

Terima kasih atas kerjasama daripada semua pihak yang memberi sokongan serta dorongan dalam menjayakan Seminar Fiqh Sab'ah ini.



Insyallah, akan datang bakal disambung lagi dengan pengajian Fiqh yang lain, dalam Seminar Fiqh Sab'ah II.

Terima kasih semua
Admin.