Jumaat, 11 April 2014

Tahniah Dan Takziah MPM KUDQI


Tahniah dan takziah kami ucapkan kepada kepimpinan Mpm Kudqi yang baru dilantik. Semoga dengan perlantikan ini, Mpm Kudqi terus maju melangkah kehadapan memacu mahasiswa Islam mendepani era yang mutakhir ini semakin rencam dengan pelbagai wacana ilmiah dan berkembang suburnya pelbagai ideologi yang menyesakkan dan memeningkan mahasiswa Islam. 


Harapan besar kami, agar kerjasama antara Mpm Kuizm dan Mpm Kudqi dapat dijalin dengan lebih erat lagi pada masa yang akan datang bagi memaknakan lagi peranan kita sebagai Mahasiswa Islam. Sebagai pimpinan badan mahasiswa yang telah dilantik, marilah kita laksanakan amanah dan tanggungjawab dengan ikhlas dan sebaik mungkin.


Firman Allah taala.
“Allah tidak memberatkan seseorang itu melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia memperolehi pahala kebaikan yang diusahakan dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya”

Semoga Allah s.w.t memandu setiap gerak kerja kita semua.

AHMAD SYIFA ABD RAHIM
Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa Kuizm

Jumaat, 4 April 2014

Keutamaan Ukhuwah



Keutamaan ukhuwah dapat dilihat daripada faedah-faedahnya yang banyak :


1.   Mendapat Kecintaan Allah swt.

Dua hati, antara dua orang yang bersahabat, yang menjalin persahabatan atau persaudaraan kerana Allah swt, akan mendapat balasan dari Allah swt iaitu Allah Ta’ala akan mencintai kedua-dua mereka. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan daripada RasululLah saw: “Bahawa seorang lelaki pergi menziarahi saudaranya yang tinggal di sebuah kampung, lalu Allah Ta’ala mengutus seorang malaikat untuk mengawasi perjalanannya itu. Ketika sampai, malaikat bertanya: “Hendak bertemu siapa?” Jawab lelaki itu: “Saya hendak bertemu dengan saudara saya yang tinggal di kampung ini.” Malaikat bertanya pula: “Apakah kamu akan dapat sesuatu daripadanya?” Jawab lelaki itu: “Tidak, tetapi saya mengasihi, merinduinya kerana Allah.” Malaikat berkata: “Aku diutus Allah kepadamu untuk memberitahu, bahawa Allah mencintamu seperti mana kamu mencintai saudaramu itu.” Allahu Akbar wa lilLahi al-Hamd…adakah di sana cinta agung tandingan yang didamba setiap sekeping hati selain cinta agung yang tulus mulus dan terjamin tidak ada masa surut, khianat dan curangnya ini?.


2.   Mendapat perlindungan Allah Ta’ala di hari akhirat 

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa RasululLah saw bersabda:

“Pada hari kiamat, Allah akan berfirman (menyeru): “Manakah orang-orang yang (dulu semasa di dunia) saling mencintai kerana KeagunganKu? Hari ini Aku akan melindungi mereka, sebab hari ini tidak ada perlindungan selain daripada perlindunganKu.”” [Hadis Muslim]


3.   Berada di atas mimbar-mimbar cahaya

Hadis qudsi daripada ‘Ubadah bin Shomit, Allah swt berfirman; “KecintaanKu hanya untuk orang-orang yang saling mencintai, saling menghubungkan silaturrahim dan saling berkorban keranaKu. Orang-orang yang saling mencintai keranaKu, akan berada di atas mimbar-mimbar cahaya. Para nabi, sahabat dan syuhada merasa cemburu terhadap mereka”. [Hadis Ibnu Hibban dll]


4.   Beribadah dengan amal yang paling utama.

Daripada Mu’az bin Anas, RasululLah saw telah ditanya: tentang apakah amal yang paling utama?, Jawab RasululLah saw: “Kamu mencintai dan membenci kerana Allah dan kamu menggunakan lidahmu untuk mengingatiNya.” RasululLah saw ditanya lagi: “Apa lagi wahai RasululLah?” RasululLah saw menjawab: “Bahawa kamu suka untuk manusia apa yang engkau suka untuk dirimu sendiri dan engkau tidak suka untuk manusia apa yang engkau tidak suka untuk dirimu sendiri.” [Hadis Imam Ahmad]


5.   Terhindar dari rasa takut dan dukacita

Umar r.a meriwayatkan, bahawa RasululLah saw bersabda:

“Di antara hamba-hamba Allah ada manusia yang bukan para nabi dan bukan pula para syuhada, tetapi pada hari qiamat para nabi dan para syuhada cemburu kepada mereka kerana kedudukan (istimewa)nya di sisi Allah.” Para sahabat bertanya; “Wahai RasululLah! Beritahu kami siapakah gerangan mereka itu?” Rasulullah saw menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah, bukan kerana hubungan keluarga dan bukan kerana harta yang mereka saling berikan. Demi Allah! Muka mereka itu bercahaya, mereka berada di atas cahaya, tidak merasa takut ketika orang-orang lain merasa takut, tidak berdukacita ketika orang lain berdukacita”.

Kemudian RasululLah saw membacakan ayat:

أَلآ إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَهُمْ يَحْزَنُونَ
“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada rasa takut dan mereka tidak bersedih hati”. [QS.10 (Yunus):(62)]


6.   Terampun segala dosa.

Riwayat ath-Thabrani, RasululLah saw bersabda:

“Sesungguhnya seorang muslim apabila bertemu dengan saudara muslimnya, lalu berjabat tangan, gugurlah dosa kedua-duanya sebagaimana berguguran daun-daun dari pohon ke bumi di suatu hari yang berangin kencang, diampunkan dosa kedua-duanya walaupun dosanya seperti buih di lautan”.


7.   Mengecapi kemanisan iman.

RasululLah saw bersabda:


“Tiga perkara, sesiapa yang terdapat ketiga-tiga perkara tersebut dalam dirinya, ia akan mengecapi kemanisan iman, iaitu; bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari yang lain, bahawa ia tidak mengasihi seseorang kecuali kerana Allah dan bahawa ia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci dilontarkan ke dalam neraka”.


Admin.

Selasa, 1 April 2014

5 Etika Bergurau Senda

Islam tidak melarang untuk kita berseronok dengan melawak dan bergelak ketawa. Lihatlah bagaimana kisah Rasulullah s.a.w bergurau dengan seorang wanita tua.

Wanita itu berkata baginda, “Doalah kepada Allah supaya Dia memasukkan aku ke dalam syurga.” Baginda menjawab, “Wahai ibu, sesungguhnya orang tua tidak masuk ke dalam syurga.” Perempuan itu balik dan menangis. Baginda s.a.w bersabda: “Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak masuk ke dalam syurga dalam keadaan masih tua. Sesungguhnya Allah berfirman, “Sesungguhnya kami mencipta wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru. Kami jadikan mereka dalam keadaan dara, yang amat mengasihi suaminya dan yang sebaya dengannya.” (H.R. Tirmizi dan Al-Baihaqi)

Abu Hurairah telah meriwayatkan: Para sahabat berkata, “ Wahai Rasulullah sesungguhnya kamu bergurau senda dengan kami.” Baginda menjawab: “Ya, aku bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar.” (H.R. Tirmizi dan Ahmad)


Di sini, Dr. Yusuf Qardawi meletakkan lima etika yang perlu dipatuhi dalam bergurau senda:

Pertama: Tidak menggunakan perkara yang bohong sebagai alat untuk manusia tertawa.

Nabi s.a.w bersabda: “Celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia.” (H.R. Ahmad dan Ad-Darimi)

Nabi s.a.w bersabda: “Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” (H.R. Abu Daud, Tirmidzi dan An-Nasai’e)

Kedua: Gurauan tidak mengandungi penghinaan terhadap orang lain melainkan diizinkan oleh orang tersebut.

Firman Allah: “Wahai orang2 yang beriman janganlah satu puak itu menghina puak yang lain, kemungkinan orang yang dihina lebih baik dari orang yang menghina. Janganlah wanita menghina wanita yang lain , kemungkinan wanita yang dihina lebih baik baik dari yang wanita menghina… “ (Al-Hujarat, 49:11)

Nabi saw bersabda: “Cukuplah seorang itu melakukan kejahatan apabila dia menghina saudaranya semuslim.” (H.R. Muslim)

Termasuk dalam menghina ialah dengan meniru perbuatan orang lain.

Aisyah r.a berkata, “Aku telah meniru perbuatan seorang manusia.” Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Aku tidak suka meniru perbuatan orang lain.” (H.R. Ahmad dan Baihaqi)

Ketiga: Melawak yang tidak menakutkan orang lain.

Nukman bin Basyir ra berkata: Sesungguhnya kami bersama Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki yang lain mengambil anak panah dari busurnya dan mengejutkan lelaki yang mengantuk yang menyebabkan dia terperanjat. Rasulullah saw bersabda: “Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam.” (H.R. Thabrani)

Nabi s.a.w bersabda: “Janganlah kamu mengambil barang kepunyaan saudara seislamnya dengan niat melawak ataupun betul-betul.” (H.R. Ahmad)

Keempat: Jangan melawak ditempat yang serius dan jangan serius di tempat melawak.

Dalam Islam ada 3 perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak. Nabi s.a.w bersabda: “Tiga perkara yang mana diambil hukumnya sama ada dalam keadaan melawak atau serius: 1. Nikah, 2. Cerai, 3. Membebaskan hamba.” (H.R. Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Sesungguhnya Allah telah mencela orang-orang musyrikin yang ketawa ketika mendengar Al-Quran. Firman Allah swt: “Adakah kamu hai musyrikin rasa hairan dengan ayat2 suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak menangis ketika mendengarnya dan kamu dengar dalam keadaan lalai.” (An-Najm, 53:59-61)

Kelima: Hendaklah melawak sekadar perlu dan tidak berlebihan.

Nabi s.a.w bersabda: “Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati.” (H.R. Ahmad dan Ibu Majah)

Saidina Ali r.a: “Masukkan lawak dalam kata2 sekadar kamu memasukkan garam dalam makanan kamu.”

Said bin al-‘As berkata: “Bersederhanalah dalam melawak. Berlebihan dalam melawak akan menghilangkan keindahan dan menyebabkan orang-orang yg bodoh akan berani terhadapmu. Meninggalkan melawak akan menjauhkan orang-orang yang hendak bermesra dan menyebabkan orang-orang yang berdamping denganmu berasa rimas.”

Admin.