Selasa, 16 Disember 2014

Lestari Fikrah Perjuangan Dari Sirah

Di celahan berjuta-juta bintang yang berkelipan yang bergerak dan beredar mengikut arahan Allah SWT yang menciptakan Alam, terdapat makhluk yang bergelar manusia dan jin di mana Allah SWT telah menciptakan dua makhluk ini untuk menyembah-NYA. Maha suci Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Namun tidak jin, bintang dan matahari tetapi manusia yang dipilih untuk menggalas tanggungjawab menjadi khalifah di muka bumi. Allah SWT perturunkan perintah-NYA yang bersifat kekal abadi melalui malaikat Jibril kepada para nabi untuk disebarkan kepada umat mereka lantas dapat memerintah bumi ini mengikut apa yang telah diperintahkan oleh pencipta alam.
Zaman berganti zaman, nabi berganti nabi sehinggalah penghulu segala nabi, Nabi Muhammad SAW diutuskan bersama mukjizat yang paling agung iaitu mukjizat Al-Quran yang menjadi nadi kekuatan umat Islam. Bermula dari berdakwah secara rahsia, Rasulullah SAW mengkader pelbagai tenaga manusia (manpower). Namun Umat Islam tidak dihiraukan, diketawakan, diseksa dan ditentang. Sehinggalah membawa kepada peristiwa Hijrah baginda ke Kota Madinah yang menyaksikan terbinanya sebuah negara Islam, Sunnah yang dibawa dan diperjuangkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Nabi Muhammad SAW mentadbir negara Islam Madinah bukanlah semata-mata mendominasi negara yang kosong syariat, tetapi hakikatnya Baginda SAW mengajar umat Islam kepada cita-cita Akhirat dengan melaksanakan syariat Allah Yang Maha Agung.
Sudah menjadi sunnah dalam perjuangan Islam akan ada musuh yang cuba menyekat syariat Islam daripada terlaksana walaupun mereka kenal akan kebenaran, peperangan pasti tercetus antara kaum hak dan kaum batil. Peperangan ini bukanlah akibat kepentingan politik dan juga bukan akibat tidak puas hati semata-mata, tetapi yang paling utama peperangan antara umat Islam dan kafir Quraisy adalah pertembungan dasar dan fikrah. Ada segelintir umat Islam yang mencintai Nabi Muhammad SAW dan Islam namun sayangnya mereka lebih sayangkan keluarga mereka yang menentang Islam, akibat gagal memahami bahawa dasar Islam adalah lebih utama daripada ukhuwah dan silaturrahim maka mereka juga tergolong dalam golongan yang tidak mendapat hidayah, enggan berhijrah ke Madinah malah ada pula yang menyertai tentera kuffar.
Pembukaan kota Mekah menyaksikan fikrah dan dasar Islam tersebar ke seluruh dunia. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, Khalifah Ar-Rashidun menyambung legasi perjuangan membawa risalah dasar Islam ini sehinggalah Islam berjaya menguasi Empayar Parsi Sasanid. Dasar Islam kemudian dipelihara oleh Khalifah dan Ulamak Islam sehinggalah terjatuhnya negara Islam Uthmaniyah angkara Mustafa Kamal Atarturk yang berkomplot dengan musuh Islam. Perjuangan membawa dasar Islam kemudiannya diperjuangkan oleh para Ulamak pada zaman moden yang berkonfront dalam arena politik demi melihatkan dasar Islam tertegak di seluruh negara umat Islam pada hari ini.
Saya bukanlah ingin bercerita tentang sejarah namun dengan melihat sejarah, kita merenung kembali pejuang-pejuang terdahulu di mana kita yang menyambungnya. Sebagai anak anak muda yang berintima’ bersama PAS, kita seharusnya menilai kembali apakah dasar perjuangan kita. Adakah dasar kita semata-mata mendambakan agar mampu menguasai Putrajaya yang baru dibina tidak sampai 100 tahun pun sedangkan dasar Islam itu telah diperjuangkan oleh para nabi beribu-ribu tahun lagi malah ia bukan sahaja berhenti di dunia malah keberkatan memperjuangkannya harum sehingga ke negeri Akhirat.
Sebagai penyokong dan pendokong kepada PAS yang teguh bersama perjuangan Islam, perkara penting yang perlu dihadam lumat, antaranya termasuklah :
1- Berbezanya PAS dengan UMNO, PKR, DAP dan lain-lain parti politik adalah berbeza dasar yang diperjuangkan. PAS memperjuangkan keseluruhan akan Islam itu. Walaupun kita bertahaluf siyasi dengan PKR dan DAP harus diingat bahawa kita berbeza dasar dengan mereka. Dasar ini tidak boleh diubah dan tidak boleh digadai. Sekalipun dalam Pakatan Rakyat. Menjadi suatu kewajipan kita meletakkan dasar Islam ini lebih tinggi daripada apa sahaja kepentingan. Sangat malang bagi mana-mana ahli PAS yang sanggup menggadaikan prinsip Islam seperti manusia yang tidak bermaruah sekalipun mengetahui betapa peritnya perjuangan Nabi terdahulu.
2- Walaupun kita berada dalam Pakatan Rakyat, kita mesti mengutamakan dasar perjuangan PAS terlebih dahulu dalam apa jua isu. Bukan mengutamakan Pakatan Rakyat dahulu barulah dasar perjuangan kita. Janganlah kita meniru kesilapan segelintir mereka yang sayangkan Islam dan Nabi Muhammad SAW namun tidak mahu mengikut Hijrah Nabi malah tega pula menyertai tentera musuh kerana lebih menyayangi keluarga sendiri melebihi dasar Islam. Jika perlu berhadapan dengan situasi Dasar Islam bertembung dengan ukhuwah/silaturrahim (menjaga hubungan baik) maka Dasar Islam itu lebih diutamakan. Mereka yang lebih mengutamakan kawan daripada dasar Islam umpama manusia yang hanya tinggal jasad tetapi tiada roh.

MOHD FADHIL BIN ZULKIFLI
Mahasiswa KUIZM

Ahad, 14 Disember 2014

PAS Diserang, Anak Muda Perlu Tetap Teguh

Setelah membaca kenyataan Presiden PKR, DS Wan Azizah yang menuduh bahawa Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) sudah enam bulan tidak bertemu dengan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat (PR), seolah-olah menggambarkan TGHH tidak memberikan kerjasama dalam pakatan tersebut. Saya mewakili jiwa mahasiswa dan jiwa anak muda merasakan kenyataan yang ditimbulkan seolah-olah sengaja ditimbulkan bagi mengeruhkan lagi keadaan yang dilihatkan sudah pun tercalar akibat kegelojohan mengadakan "Kajang Move" yang berlawanan dengan semangat kerjasama dalam sebuah pakatan.
Saya tertanya-tanya apakah keuntungan kenyataan ini? Apakah ia akan menguatkan kerjasama antara rakan PR setelah selesai konflik penukaran Menteri Besar Selangor tempoh hari. Kenyataan ini seolah-olah seperti kanak-kanak merajuk kerana segala kemahuannya tidak ditunaikan kemudian menyalahkan orang lain atas kegagalan mendapatkan apa yang diinginkan itu. Tambahan pula, saya musykil kenapa ketidakpuasan hati itu ditujukan pula kepada TGHH?
Saya bersetuju dengan kenyataan balas yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi bahawa PAS bukanlah bergerak secara individu sebaliknya PAS bergerak secara berjemaah. Sebuah Gerakan Islam yang juga merangkap sebuah Parti Islam sudah tentulah mempunyai pelbagai jentera yang masing-masing bergerak mengikut bidang tugas yang telah diamanahkan, ada yang menjadi jurucakap, ada yang menjadi juru runding, ada yang memimpin dan lain-lain. Bukannya seorang Presiden itu melakukan semua perkara. Maka saya tidak nampak sebarang masalah kepada komunikasi PAS dengan rakan komponen lain atas isu yang ditimbulkan.
Melihatkan corak politik sekarang ini lebih kearah menghentam TGHH, maka saya merasakan mahasiswa atau anak muda yang teguh bersama PAS wajib bersama-sama berdiri mempertahankan TGHH. Perlu difahami bahawa posisi Presiden PAS bukanlah suatu posisi yang wujud untuk menjadi bahan pujian anak muda, sebaliknya posisi Presiden PAS menuntut kepada ahli Jemaah bagi memberi ketaatan dan mempertahankan jasad TGHH yang berada di posisi itu! Maka sebagai anak muda yang teguh bersama perjuangan Islam dan bercita-cita ingin melihat tertegaknya pemerintahan Islam di Malaysia, saya menggesa anak muda yang sayangkan perjuangan ini dan masih punyai aqidah perjuangan yang suci ini untuk bersama-sama mempertahankan Tuan Guru Presiden PAS kita yang kini ingin dijatuhkan bukan sahaja oleh golongan Sekular tetapi juga Modernist, Liberal dan konco-konconya dari luar mahupun dalam.
TGHH dikatakan sebagai seorang yang tidak kompeten, dikorek pula kata-kata Al-Marhum Ustaz Fadhil Noor untuk memburukkan TGHH sedangkan kedua-dua mereka berjuang bersama-sama dan mempunyai kesatuan hati dan pemikiran. Pelbagai imej buruk ditampalkan kepada jasad TGHH seolah-olah TGHH tidak pandai Fiqh Siyasah dan hanya mereka yang cenderung kepada Liberal dan Modernist sahaja yang pandai selok-belok Fiqh Siyasah. Namun begitu, Allah itu Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah SWT menutup mulut mereka yang bermulut jahat dengan mentakdirkan TGHH dilantik menjadi Timbalan Ketua Kesatuan Ulamak Se-dunia. Beliau juga telah diberi penghormatan untuk berucap di hadapan ribuan manusia bertempat di Lahore, Pakistan. Kemudiannya diberikan penghormatan menyampaikan amanat taujihat di India dan juga dinobatkan sebagai tokoh Murabbi Ummah PAS Wilayah Persekutuan baru-baru ini. Akibat mati langkah dalam menggambarkan TGHH tidak mahir dalam siyasah, mereka cuba pula dengan kaedah lain dengan menyerang PAS menyerupai syiah, tidak boleh ditegur, dan masalah-masalah teknikal seperti dalam isu kenyataan Presiden PKR baru-baru ini. Jika dulu serangan ini dilakukan oleh UMNO namun pada hari ini ia dilakukan oleh orang kiri dan kanan kita sendiri pula!
Sebagai anak muda, kita tidak dapat lari daripada menyukai kepada suatu yang nampak "cool" dan membangkitkan semangat, maka tidak hairan jika sesetengah anak muda senang terjerat dengan permainan psikologi ini. Jika dulu anak muda menentang UMNO yang Sekular dan jelas menentang Islam maka anak muda itu dianggap "cool" dan hebat kerana anak muda yang menentang arus sememangnya akan cepat menjadi popular. Oleh itu, jika aqidah perjuangan kita sebagai anak muda tidak utuh dan terikut-ikut dengan mengejar populariti, maka setelah Islam sudah semakin diterima ramai pula kita masih berperangai suka melawan arus (melawan Islam kembali). Maka saya mewakili jiwa anak muda menyeru kepada seluruh anak muda yang masih sayangkan jemaah ini untuk kembali melihat aqidah perjuangan kita dan fahami apa yang diperjuangkan. Bersama-sama kita anak muda yang teguh bersama PAS berdiri mempertahankan TGHH daripada anasir jahat.
Akhirnya, ingin saya berkongsi sedikit dengan sekalian pembaca bahawa kita bertuah kerana pada generasi kita bersama dengan PAS. Hari ini Ulamak tidak lagi mengusung speaker dan mikrofon dari kampung ke kampung menyebarkan risalah kebenaran, jentera PAS tidak lagi disertai oleh orang tua kampung yang bertongkat tetapi jentera PAS bertebaran ramai dari Ulamak ke Professional dan diisi dengan pelbagai lapisan umur. PAS kini dikenali di seluruh dunia dan menjadi Gerakan Islam yang menjadi rujukan dalam hal siyasah oleh Gerakan Islam yang lain di seluruh dunia. TGHH pula dilantik menjadi Timbalan Ketua Kesatuan Ulamak Se-dunia di mana ia merupakan kebanggaan kepada semua ahli jemaah, maka sangat rugilah jika kita yang lahir pada generasi ini tidak pernah bersakit-sakit seperti Ulamak terdahulu tiba-tiba kita ingin melebihi Ulamak dan menjatuhkan Ulamak pula.
MOHD FADHIL BIN ZULKIFLI
Mahasiswa KUIZM

Rabu, 10 Disember 2014

Keutamaan Ilmu Dan Ulama'

Islam mewajibkan kaum Muslimin dan Muslimat menuntut ilmu. Sabda Rasulullah saw:
طلب العلم فريضة على كل مسلم    
(Menuntut ilmu adalah fardhu keatas setiap muslim)
Hakikat Islam dari prinsip dasar hinggalah ke rantingnya bukanlah hanya tatacara peribadi yang berpindah–pindah dari nenek moyang terus turun-temurun atau jampi yang disebarkan secara perasaan ragu-ragu, tetapi ia adalah hakikat yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah yang tidak mampu difahami kecuali oleh para ulamak dan cerdik pandai yang memiliki ilmu yang matang dalam memahami sesuatu yang benar.
Islam adalah agama ilmu dan agama akal. Oleh sebab itu, sebelum Islam membebankan pengikut-pengikutnya dengan sesuatu perintah atau larangan, terlebih dahulu Islam mewajibkan mereka supaya berilmu dan mendalami urusan tersebut supaya perbuatan itu bersesuaian dengan kebenaran dan kemaslahatan.

Ayat Al-Quran yang pertama diturunkan jelas menunjukkan bahawa Islam begitu menekankan kepada kalam, tulis-menulis dan baca membaca. Islam menganggap bahawa agama tidak akan mendapat tempat yang baik apabila orang-orang Islam sendiri tidak mempunyai pengetahuan (ilmu) yang matang dan fikiran yang sihat. Pengetahuan bagi Islam ibarat roh (nyawa) bagi tubuh manusia. Sebab itulah Allah SWT memuliakan para ulamak. Firman Allah: (Surah Al-Mujadalah: ayat 11)
11. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan.
(Surah Az-Zumar: ayat 9)
9. "(Engkaukah Yang lebih baik) atau orang Yang taat mengerjakan Ibadat pada waktu malam Dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.
Sabda Rasulullah SAW:
فقيه واحد أشد على الشيطان من ألف عابد 
(Seorang yang faqeh (berilmu) lebih ditakuti syaithan daripada seribu orang ‘abid)
 العلملء ورثة الأنبياء
(Ulamak pewaris para nabi)
Satu hakikat yang jelas yang tidak dapat disangkal lagi bahawa pengiktirafan Allah terhadap para ulamak sangat tinggi dan besar sekali. Ini jelas ditunjukkan oleh nas Al-Quran dan Hadis di atas. Ciri-ciri kelebihan oleh ulamak melayakkan mereka mewarisi tugas dan tanggungjawab para nabi untuk meneruskan perjuangan dan menyampaikan risalah kenabian yang telah direntas oleh para nabi dan rasul terdahulu.

Ahad, 30 November 2014

Adik-Adikku Sayang

Guru selalu berpesan,

"bukan suatu kesalahan jika tak pandai, tetapi menjadi satu kesalahan apabila malas berusaha"

Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM mengucapkan tahniah kepada guru-guru, ibubapa dan semua pelajar tahun 6 yang kental menghadapi ujian terpaksa menduduki kertas peperiksaan ulangan sehinggalah berjaya menerima keputusan UPSR pada tahun ini . Apapun keputusannya, tahniah diucapkan kerana adik-adik telah berusaha sehabis baik.
Terima kasih kepada guru-guru yang berusaha mendidik adik-adik kami. Keputusan peperiksaan bukanlah kayu ukur yang sebenarnya kepada didikan yang telah diberikan. Lebih dari itu, didikan yang berjaya adalah apabila adik-adik kami dapat berakhlak dengan baik. Apalah ertinya 5A jika pelajar tidak dapat menghormati guru dan anak tidak dapat menghormati ibubapa.

Tahniah kepada ibu bapa kerana telah dikurniakan nikmat yang tidak ternilai. Jika keputusan peperiksaan anak-anak tidak memuaskan, usahlah terlalu kecewa kerana perjalanan mereka masih jauh. Ini hanyalah satu permulaan bagi mereka. Teruskan memberi suntikan semangat kepada mereka. Jika keputusan mereka cemerlang, pastikan sahsiah mereka juga cemerlang.

Didikan bermula daripada rumah dan guru yang paling dekat dengan anak-anak adalah ibu bapa. Mereka adalah saham terbaik untuk kita di akhirat, maka didiklah anak-anak kita mengenal tuhan dan didiklah mereka dengan akhlak Islam kerana dengan Islamlah dapat menjamin kebahagian kita semua di dunia dan akhirat.

Tahniah saya ucapkan kepada Negeri Terengganu kerana memperolehi keputusan UPSR terbaik pada tahun ini. Semoga terus sukses!

Muhammad Harith Mohd Noh 
Presiden MPM KUIZM 14/15

Jumaat, 28 November 2014

Tahniah Barisan Kepimpinan Baru!

Alhamdulillah, semalam dengan jayanya telah diumumkan calon-calon yang memenangi PRK KUIZM kali ke 5 dan 2 orang AJKT dikekalkan. Berikut adalah senarai AJKT MPM KUIZM yang kekal dan calon-calon yang menang:

Presiden (menang tanpa bertanding) : Muhammad Harith Mohd Noh

Kekal:
1. Marzuki Bin Mohd Salleh
2. Hananul Mardhiah Binti Zakaria

Ikhwah:
1. Nabih Fahmi Bin Mustafa - 61 undian
2. Muadz Bin Abd Rahman - 61 undian
3. Mohamad Fairuz Bin Abdul Rahman - 61 undian
4. Mohamad Noralim Fahmi Bin Mohd Norzilah - 60 undian
5. Qatadah bin Hamzah - 59 undian
6. Mohd Athaillah Majdi Bin Abdul Majid - 56 undian
7. Muhammad Farid Bin Zulkifli - 47 undian

Akhawat:
1. Siti Afiqah Binti Mohamed Tahir - 68 undian
2. Syuaibah Binti Salleh Sani - 65 undian
3. Mu'minatul Hasanah Binti Mokhtar - 65 undian
4. Nurul Huda Binti Mazlan - 59 undian
5. Nor Amani Binti Ishak - 56 undian
6. Siti Noor Khadijah Binti Abd Kadir - 56 undian
7. Munqizah Husna Binti Zaidi - 54 undian
 




Tahniah kepada calon-calon yang menang. Semoga MPM KUIZM lebih maju kehadapan dan komited untuk mencetak mahasiswa yang mampu memimpin dan berdakwah di setiap lapangan. Siru 'ala barkatillah!

Sabtu, 25 Oktober 2014

Selasa, 9 September 2014

Festival Konvokesyen KUIZM Kali Ke-2


Buat julung kalinya, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) bakal menganjurkan Festival Konvokesyen KUIZM 2014. Festival tersebut diadakan bersempena dengan Majlis Konvokesyen KUIZM kali kedua dan akan berlangsung pada 12 & 13 September 2014 bertempat di Dataran KUIZM, Taman Melewar.



Festival Konvokesyen kali ini akan dimeriahkan dengan Pesta Buku Islam & Haraki, pameran institusi, gerai jualan dan juga akan dijalankan Pemeriksaan Kesihatan & Perubatan Alternatif secara percuma. 

Bukan itu sahaja, Festival ini juga akan diserikan lagi dengan Majlis Pelancaran Dataran Ilmu KUIZM buat julung kalinya, akan dirasmikan oleh Datuk Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh yang merupakan Setiausaha Majlis Syura Ulamak dan Pemangku Naib Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat.

Selepas sahaja daripada pelancaran tersebut, majlis akan diteruskan dengan Talaqqi Ilmu Berkitab bersama tiga tokoh yang sudah pasti dikenali ramai. Tiga tokoh tersebut adalah Al-Fadhil Ustaz Nazmi B Karim yang akan membentang Muqaddimah Kitab Sirah Perjuangan Para Sahabat (صور في حياة الصحابة) , Al-Fadhil Ustaz Zulkifli B Ismail akan membentang Kitab Aqidah & Sekularisme dan Al-Fadhil Ustaz Azhar Yahya akan membentang Muqaddimah Kitab Feqh Al-Mu'tamad.

Pengajian Talaqqi Ilmu Berkitab ini akan diteruskan di Dataran Ilmu KUIZM pada hari Jumaat minggu kedua dan keempat setiap bulan dan pastinya ia akan menjadi qiblatul ilmi ; pusat perkembangan ilmu, dakwah dan tarbiyah jemaah Islam di ibu kota ini.

Festival Konvokesyen pada kali ini juga bakal memberikan peluang kepada hadirin dan hadirat semua bagi menyertai Program Tahlil & Tahnik Perdana, ianya adalah percuma. Pentahnik yang bakal hadir pada Festival Konvokesyen ini adalah Datuk Ust Nik Muhammad Zawawi B Salleh, Dr Shahbudin B Ngah, Al-Fadhil Ustaz Zulkifli B Ismail, Al-Fadhil Ustaz Nazmi B Karim dan Al-Fadhil Ustaz Azhar B Yahya. Bagi yang berminat boleh dapatkan borang penyertaan di Pejabat KUIZM, Taman Melewar atau menghubungi terus Pejabat Pengurusan KUIZM (03-61865616) atau Urusetia Program di talian 0136102733 (Ustaz Fadhil) dan 01119417346 (Ustaz Syifa).

Bagi yang berminat dan ingin membuat tempahan tapak untuk membuka gerai niaga dan turut serta membuat pameran buku di Pesta Buku Islam dan Haraki pada Festival Konvokesyen tersebut, boleh juga terus berhubung dengan nombor yang tertera di atas. 

Banyak lagi aktiviti menarik yang bakal diadakan pada Festival Konvokesyen tersebut. Justeru, semua hadirin dan hadirat dijemput hadir bagi memeriahkan Festival Konvokesyen KUIZM 2014 ini. Jazakumullah Khairan Kathira.

Sila like page facebook KUIZM : 

Klik going pada fb event Festival Konvokesyen KUIZM kali ke-2 untuk confirmation kehadiran.

"Generasi Murabbi Pemacu Ummah"

Jumaat, 29 Ogos 2014

ABC 123 Bina Jati Diri Dan Negara




Pada awal sesi pendidikan awal dahulu diajar bacaan doa dan mengenal tuhan. Setelah itu diajar mengenal huruf-huruf hijaiyah Alif Ba Ta cukup setakat itu. Kemudian diajar lagi mengenal huruf-huruf alfabet ABC juga terhenti setakat itu. Berbeza pengajaran ilmu hisab, diajar mengenal nombor dari 1 hingga 10.

Ketika itu masih belum bertanya apa selepas ABC, apa selepas Alif Ba Ta dan apa selepas 10. Terus menyanyi mengalunkan dan melagukan doa-doa yang diajar. Setelah itu, doa mula dibaca dengan lancar bukan kerana sudah pandai membaca tetapi ingat dihafal. 

Lama kelamaan persoalan mula timbul. Apa selepas ABC, Alif Ba Ta dan apa selepas 10? Sebuah persoalan ingin tahu yang menunjukkan tanda seseorang yang ingin membangun diri. Sifat ingin tahu kepada perkara yang jika digenggam kelak mampu menggugah dunia.

Meningkat umur, pendidikan di negara kita sudah mula meminggirkan ilmu mengenal tuhan dan mengenal apa arahan dan tegahan tuhan. Akhirnya, lahirlah pelapis kepimpinan negara yang tidak tahu menahu mengenai pegangan akidahnya sendiri sehinggakan tidak dapat membezakan najis berat dan ringan yang begitu asas. 

Negara membangun dengan pelbagai binaan yang pesat tetapi semua itu hanyalah semata-mata binaan dan tiada nilainya jika rakyatnya tidak mengenal tuhan dan tidak berusaha membangun jati diri. Tiada ilmu digenggaman.

Membangunkan negara mestilah seiring dengan pembangunan tamadun. Terapkan ilmu dan sikap dahagakan ilmu dikalangan masyarakat. Tiadalah ertinya bangunan yang tinggi tetapi masyarakatnya tidak bermentaliti.

Masyarakat perlu terarah dengan kepercayaan dan keimanan demi kesejahteraan sesebuah negara. Penerapan nilai-nilai murni dan ilmu kerohanian mesti menjadi perhatian dan keutamaan.

Justeru, KUIZM menawarkan pendidikan yang merangkumi seluruh keperluan yang sekarang ini dipinggirkan. Penekanan diberikan bermula dengan ilmu berkaitan akidah, dakwah, aliran pemikiran, kepimpinan Islam, pengurusan kewangan Islam dan sehinggalah kepada ilmu perundangan.

Penubuhan KUIZM ini bermatlamat bagi melahirkan para graduan yang berilmu, beriman dan bertaqwa yang boleh diketengahkan sebagai pemimpin Islam akan datang.

MARZUKI MOHD SALLEH
Pengarah PSMB Sept. 2014

Selasa, 15 Julai 2014

Zakat Fitrah : Merungkai Semua Persoalan

Apa maksud zakat fitrah?

Zakat fitrah adalah zakat yang diwajibkan bersempena dengan bulan Ramadhan dan juga hari raya Fitrah (aidil-Fitr). Dinamakan juga dengan zakat al-Abdan dan ar-Ru-us (zakat badan dan kepala) kerana ia diwajibkan ke atas setiap batang tubuh orang Islam tanpa kecuali sama ada kecil atau besar, tua atau muda, lelaki atau wanita, miskin atau kaya, merdeka atau hamba. 


Kenapa dinamakan zakat ini dengan al-Fitrah?

Ada dua pengertian;

a) Ia diambil dari perkataan al-Fitr (الْفِطْر) yang bermakna berbuka kerana zakat tersebut diwajibkan bersempena hari raya (1 Syawal) iaitu hari di mana umat Islam diwajibkan berbuka setelah sebulan penuh mereka berpuasa di bulan Ramadhan.

b) Ia di ambil dari perkataan al-Fithrah (الفطرة) bermaksud al-Khilqah (yakni kejadian) kerana zakat ini menyuci dan membersihkan fitrah atau kejadian manusia. 


Apa hukum zakat fitrah? Apa dalilnya?

Zakat fitrah adalah wajib. Dalil kewajipan zakat fitrah antaranya ialah hadis dari Ibnu Umar r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah memfardhukan zakat fitrah iaitu segantang tamar atau segantang gandum ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar dari kalangan umat Islam. Baginda memerintahkan supaya ia ditunai sebelum orang ramai keluar pergi menunaikan sembahyang (hari raya)” (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Menurut Imam Ibnu al-Munzir; “Telah menjadi ijma’ para ulama’ bahawa zakat fitrah hukumnya adalah wajib”. Walaupun tidak dinafikan ada segelintir ulama’ berpandangan bahawa zakat Fitrah adalah sunnah, namun menurut Imam Nawawi dalam Raudhatu at-Thalibin, pandangan mereka ini adalah syaz dan munkar.


Bilakah mula diwajibkan zakat fitrah?

Mula diwajibkan pada tahun ke 2 Hijrah iaitu tahun yang sama diwajibkan puasa bulan Ramadhan.


Apa hikmah diwajibkan zakat fitrah?

1. Sebagai pembersihan bagi orang yang berpuasa dan menampung kekurangan puasa mereka. Hikmah ini berdasarkan hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; 

“Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang berpuasa dari perkara sia-sia dan ucapan-ucapan kotor dan juga sebagai makanan kepada fakir miskin” (Hadis riwayat Imam Abu Daud , Ibnu Majah dan al-Hakim).

Seorang ulama’ bernama Waki’ bin al-Jirah berkata; “Zakat fitrah bagi puasa Ramadhan seumpama sujud sahwi bagi solat di mana ia membaiki kekurangan puasa sepertimana sujud sahwi membaiki kekurangan solat”. (al-Iqna’, jil. 1, hlm. 324)

2. Sebagai bantuan untuk orang miskin; iaitu untuk membantu mereka sekadar yang terdaya agar mereka dapat sama-sama bergembira dan menikmati makanan tatkala berhari-raya. Hikmah ini berdasarkan hadis dari Ibnu ‘Umar yang menceritakan; 

“Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan; “Cukupkanlah mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)””. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri)


Ke atas siapa diwajibkan zakat fitrah?

Zakat fitrah diwajibkan ke atas semua individu sama ada lelaki atau wanita, kecil atau dewasa, merdeka atau hamba, miskin atau kaya, orang bandar atau pedalaman jika cukup syarat-syarat yang akan disebutkan nanti.

Bagi orang yang belum mempunyai tanggungan, zakat fitrahnya disempurnakan oleh dirinya sendiri atau orang yang menanggung nafkahnya. Adapun orang yang telah mempunyai tanggungan, ia wajib menyempurnakan zakat fitrah untuk dirinya sendiri dan juga orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya merangkumi;

1. Isteri 

2. Asal-asulnya (iaitu bapa, ibu, datuk, nenek hingga berikutnya ke atas)

3. Zuriatnya (iaitu anak-pinak dan cucu-cicit); sama ada lelaki atau perempuan, kecil atau besar/dewasa. 

4. Hamba yang dimiliki.


Bagaimana jika seseorang itu mempunyai tanggungan yang banyak dan harta yang ada tidak mencukupi untuk membayar zakat untuk semua tanggungannya?

Hendaklah membayar zakat untuk diri sendiri dan sebahagian tanggungannya mengikut urutan keutamaan di bawah; 

1. Isterinya

2. Anaknya yang kecil

3. Bapanya

4. Ibunya

5. Anaknya yang dewasa


Jika orang terdapat lebih dari seorang (seperti ia memiliki lebih dari seorang isteri atau lebih dari seorang anak kecil), maka ia boleh memilih dari kalangan mereka siapa yang hendak ia zakati.


Jika isteri kaya, adakah suami tetap wajib menanggung zakat fitrahnya?

Ya, kerana isteri berada di bawah tanggungan nafkah suami, maka zakat fitrahnya menjadi kewajipan suami sekalipun isteri kaya.

Jika suami miskin, adakah isteri wajib mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya?

Tidak wajib. Jika suami miskin dan tidak mampu mengeluarkan zakat fitrah, gugur zakat fitrah dari isterinya sebagaimana gugur dari dirinya. Tidak wajib isteri mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya kerana ia tertanggung atas bahu suaminya. Walaupun tidak wajib, namun disunatkan ia mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya jika ia mampu.


Bilakah anak wajib menanggung zakat fitrah untuk ibu-bapanya?

Anak tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi ibu-bapanya kecualilah jika ibu-bapanya fakir atau miskin di mana nafkah sara hidup mereka menjadi kewajipannya ketika itu. Adapun ibu-bapa yang kaya atau berkemampuan, maka zakat fitrah mereka tidak wajib ditanggung oleh anak-anak mereka, akan tetapi ditanggung oleh mereka sendiri. 


Bilakah bapa wajib menanggung zakat fitrah untuk anak-anaknya?

Anak-anak terbahagi kepada dua;

1. Anak-anak yang masih kecil

2. Anak-anak yang telah dewasa (baligh)


Anak-anak yang masih kecil sama ada lelaki atau perempuan, jika mereka memiliki harta, maka zakat fitrah hendaklah dikeluarkan dari harta mereka. Menjadi tanggungjawab walinya untuk mengeluarkannnya dari harta tersebut. Namun jika mereka tidak memiliki harta, maka zakat fitrah mereka ditanggung oleh bapa atau penjaga yang menanggung nafkah mereka.

Anak-anak yang telah baligh (dewasa), jika mereka mampu mencari pendapatan sendiri, maka zakat fitrah mereka tertanggung atas diri mereka sendiri, bukan atas bapa atau penjaga mereka. Malah tidak sah bapa atau penjaga mereka mengeluarkannya bagi pihak mereka kecuali dengan izin mereka atau dengan mereka mewakilkannya. 

Adapun yang tidak mampu mencari pendapatan sendiri –sama ada kerana ditimpa sakit yang berterusan, gila atau kerana menumpukan masa untuk menuntut ilmu- maka bapa atau penjaga yang menyara mereka lah yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk mereka. Kesimpulannya, bagi anak-anak yang telah dewasa, syarat untuk mewajibkan bapa atau penjaga menanggung zakat fitrah mereka ialah mereka tidak mampu mencari pendapatan sendiri.


Adakah wajib kita menanggung zakat fitrah untuk saudara-mara?

Tidak wajib sekalipun mereka susah dan miskin. Saudara mara (sama ada abang, adik, kakak, anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, sepupu-sepupu serta sekelian kaum kerabat yang lain yang tidak tergolong dalam asal-usul kita (iaitu bapa, ibu, datuk, nenek) dan juga zuriat kita (iaitu anak, cucu dan cicit)), tidak wajib kita menanggung nafkah mereka (sekalipun mereka miskin), maka dengan itu tidak wajib pula kita membayar zakat fitrah untuk mereka. Malah tidak sah seseorang mengeluarkan zakat fitrah untuk saudara atau ahli kerabat yang tidak berada di bawah tanggungan nafkahnya kecuali dengan izin mereka atau dengan mereka mewakilkan kepadanya (untuk mengeluarkan zakat bagi pihak mereka).


Apakah syarat-syarat wajib zakat fitrah?

1. Islam; tidak wajib zakat fitrah ke atas orang kafir. 

2. Hidup ketika terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan iaitu ia sempat bertemu dengan juzuk terakhir Ramadhan dan juzuk terawal Syawal.

Anak yang lahir sesudah terbenam matahari pada hari terakhir tersebut tidak wajib dikeluarkan zakat fitrah baginya kerana ia tidak bertemu dengan Ramadhan sekalipun bertemu dengan Syawal. Begitu juga, seorang lelaki yang mengahwini seorang perempuan selepas terbenam matahari hari terakhir tersebut juga tidak wajib membayar zakat fitrah untuk isteri yang baru dikahwininya itu kerana isterinya itu masuk di bawah tanggungannya setelah selesai Ramadhan secara sepenuhnya. Sebaliknya, orang yang mati selepas terbenam matahari pada hari terakhir itu, wajib dikeluarkan zakat fitrah untuknya kerana kematiannya itu berlaku setelah ia sempat bertemu Ramadhan dan awal Syawal. Adapun orang yang mati sebelumnya (yakni sebelum terbenam matahari), tidak wajib dikeluarkan zakat fitrah untuknya kerana kematiannya sebelum ia sempat bertemu Syawal. 

3. Mampu; iaitu mempunyai lebihan harta pada malam hari-raya dan juga siangnya setelah ditolak belanja keperluan diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya (termasuklah binatang peliharaannya) merangkumi makanan, pakaian, sewa rumah dan juga hutang. Jika tidak mempunyai lebihan harta, tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah.

Orang yang memiliki syarat-syarat di atas wajib mengeluarkan zakat fitrah atau wajib dikeluarkan untuknya zakat fitrah. Jika tidak memenuhi syarat-syarat di atas, tidaklah wajib.


Apakah jenis harta yang sah untuk dikeluarkan zakat fitrah?

Zakat fitrah wajib dikeluarkan dari makanan asas penduduk setempat dalam suatu negeri atau Negara. Pada zaman Nabi s.a.w. makanan asas ialah kurma, anggur kering (kismis), gandum, keju dan barli. Kerana itu zakat fitrah dikeluarkan berasaskan makanan-makanan tersebut sebagaimana diceritakan oleh Abi Sa’id al-Khudri r.a.; “Kami mengeluarkan zakat fitrah (pada zaman Rasulullah s.a.w.) dengan kadar segantang dari gandum atau segantang dari barli atau segantang dari tamar atau segantang dari ‘aqt (keju) atau segantang dari kismis (anggur kering)” (Riwayat Imam Muslim).

Bagi penduduk di Negara kita Malaysia, makanan asas ialah beras. Oleh itu, zakat fitrah wajib dikeluarkan dengan beras atau dengan wang yang seharga dengan beras mengikut nilaian semasa.


Berapakah kadar zakat fitrah yang wajib dikeluarkan?

Kadar yang wajib dikeluarkan ialah satu Sha’ (الصاع) iaitu satu gantang Baghdad menyamai ukuran hari ini kira-kira 2750 gram (atau 2.75KG). Itu mengikut timbangan gandum. Adapun mengikut timbangan beras, satu gantang Baghdad menyamai 2600 gram atau 2.6 KG (mengikut Majlis Fatwa Kebangsaan). 

Seelok-eloknya tatkala mengeluarkan zakat fitrah itu hendaklah dilebihkan sedikit dari kadar segantang yang diwajibkan itu kerana ada kemungkinan makanan yang kita keluarkan itu terdapat tanah, jerami atau seumpamanya di dalamnya yang boleh mengurangkannya dari kadar yang sepatutnya dikeluarkan.


Adakah harus mengeluarkan zakat fitrah dengan wang?

Terdapat khilaf ulamak;

a) Mengikut mazhab Syafi’ie, Malik dan Ahmad; zakat fitrah wajib dikeluarkan dalam bentuk makanan asas setempat tadi. Tidak harus dikeluarkan dalam bentuk wang sekalipun yang seharga dengan makanan yang wajib dikeluarkan zakat mengikut nilaian semasa.

b) Menurut mazhab Hanafi; harus mengeluarkan zakat fitrah dengan wang yang senilai dengan harga satu gantang makanan asas tadi jika itu lebih memberi manfaat kepada fakir miskin. Pandangan mazhab Hanafi ini ditarjih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh Zakatnya. 


Bilakah masa mengeluarkan zakat fitrah?

a) Menurut mazhab Syafi’ie; zakat fitrah boleh dibayar seawal bermula bulan Ramadhan lagi, iaitu dari hari pertama Ramadhan. Menurut mazhab Malik; pembayaran sah dilakukan dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum hari raya. Sebahagian ulama’ mazhab Ahmad berpandangan; harus pembayaran dibuat setengah bulan (15 hari) sebelum hari-raya.

b) Waktu paling afdhal mengeluarkan zakat fitrah ialah pada pagi hari raya sebelum ditunaikan solat hari raya. Dalam sebuah hadis, Ibnu Umar r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. menyuruh supaya dikeluarkan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar untuk menunaikan solat (hari raya)” (Riwayat Imam Bukhari).

c) Makruh melewatkan pembayaran zakat fitrah hingga selepas solat hari raya. Hukum makruh ini berterusan hingga terbenamnya matahari. Jika dilewatkan lagi hingga selepas terbenam matahari, maka hukumnya adalah haram dan berdosa. Dalam satu hadis yang disampaikan oleh Ibnu ‘Abbas r.a. ada dinyatakan; “Sesiapa menunaikan zakat firtah sebelum solat hari raya, ia adalah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat, ia adalah sedekah biasa” (Riwayat Imam Ibnu Majah).


Orang yang melewatkan pembayaran zakat fitrah, adakah ia wajib menggantinya?

Para ulama’ juga sepakat bahawa kewajipan mengeluarkan zakat fitrah tidak akan gugur dengan menta’khir atau melewatkannya setelah ia menjadi wajib ke atas seseorang, bahkan ia menjadi hutang yang berada di bawah tanggungannya hinggalah ia membayarnya walaupun di akhir umur. Jika ditakdirkan berlaku kematian ke atasnya sebelum ia sempat menunaikan zakat fitrah tersebut, hendaklah dikeluarkan dari harta peninggalannya, kerana zakat adalah kewajipan harta yang mesti ditunaikan ketika hidup, maka ia tidak akan gugur dengan sebab berlakunya kematian sama seperti hutang dengan manusia.


Kepada siapa hendak diberikan zakat fitrah?

1. Telah disepakati oleh para ulama’ bahawa pengagihan zakat fitrah adalah sebagaimana zakat-zakat yang lain iaitu kepada lapan golongan yang disebut oleh Allah dalam surah at-Taubah, ayat 60, iaitu;

a)Untuk golongan fakir

b)Untuk golongan miskin

c)Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama

d)Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat

e)Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya

f)Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang

g)Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)

h)Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan


2. Namun hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin kerana terdapat arahan Rasulullah s.a.w. supaya kita membantu mencukupkan keperluan mereka pada hari raya sebagaimana yang terdapat dalam satu hadis; “Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan; “Cukupkanlah mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri).

3. Harus bagi orang yang mengeluarkan zakat fitrah mengagihkan sendiri zakat fitrahnya kepada orang-orang yang berhak dari kalangan fakir dan miskin. Memberi zakat kepada kaum kerabat adalah lebih utama (dari memberi kepada orang lain) dengan syarat mereka miskin dan memerlukan. Maksud kaum kerabat di sini ialah saudara-mara yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka iaitu saudara-saudara (adik, abang atau kakak), anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, ibu-ibu saudara, sepupu dan sebagainya. Adapun kaum kerabat (atau ahli keluarga) yang wajib kita menanggung nafkah mereka (iaitu isteri, anak, cucu, bapa, ibu dan datuk) tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka.

4. Dalam mengagihkan zakat, harus kita memberi zakat kita kepada seorang fakir sahaja dan harus juga kepada ramai fakir jika zakat kita itu banyak dan boleh menampung lebih dari seorang fakir. Lebih jelas; satu zakat hanya harus diberikan kepada seorang fakir sahaja. Adapun banyak zakat, ia harus sama ada hendak diberikan kepada seorang sahaja atau diberikan kepada ramai orang (dengan syarat setiap orang tidak mendapat kurang dari kadar satu zakat yang ditetapkan pada tahun tersebut).


Adakah wajib berniat ketika mengeluarkan zakat fitrah?

Ya, wajib berniat kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Segala amalan bergantung kepada niat. Sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim dari ‘Umar r.a.). Niat yang wajib ialah di dalam hati iaitu menghadirkan di dalam hati (ketika memberi zakat fitrah kepada orang yang berhak menerimanya) bahawa yang dihulur/diberikan itu adalah zakat fitrah yang wajib ke atas diri atau orang-orang yang berada di bawah tanggungan. Adapun melafaz niat dengan lidah, hukumnya sunat sahaja mengikut mazhab Syafi’ie. Sebahagian ulamak tidak mensunatkannya kerana tiada dalil yang menyuruhnya.




Rujukan dan Bacaan



1- المجموع شرح المهذب، للإمام النووي، الحزء السادس، دار الفكر – لبنان (1996)
2- المهذب في الفقه الإمام الشافعي، لأبي إسحاق الشيرازي، دار القلم (دمشق) و الدار الشامية (بيروت) (1992)
3- الإقناع في حل ألفاظ أبي شجاع، للإمام شمس الدين محمد بن أحمد الشربيني الخطيب، دار الخير – بيروت (1996)
4- كفاية الأخيار في حل غاية الاختصار، للإمام تقي الدين الحسيني، دار الخير – بيروت (1991)
5- الفقه المنهجي على مذهب الإمام الشافعي، للدكتور مصطفى الخن، الدكتور مصطفى البغا، على الشربجي، دار القلم – دمشق (1991)
6- الفقه الواضح من الكتاب والسنة، الشيخ الدكتور محمد بكر إسماعيل، دار المنار – القاهرة (1990)
7- بداية المجتهد ونهاية المقتصد، للإمام ابن رشد، مكتبة الإيمان – المنصورة (1997)
8- مغني المحتاج إلى معرفة معاني ألفاظ المنهاج، للشيخ شمس الدين مجمد بن الخطيب الشربيني، دار الفكر – بيروت (2001)
9- الكفاية لذوي العناية (في الفقه الشافعي)، للشيخ عبد الباسط على الفاخوري، دار ابن حزم-بيروت (2003)
10- الفقه الإسلامي وأدلته، للدكتور وهبة الزهيلي، دار الفكر – سوريا (1987)
11- الفقه على المذاهب الأربعة، للشيخ عبد الرحمن الجزيري، دار الكتب العلمية – بيروت (1990)
12- روضة الطالبين، للإمام النووي، دار الفكر – بيروت (1995)
13- المفصل في أحكام المرأة والبيت المسلم، للشيخ الدكتور عبد الكريم زيدان، مؤسسة الرسالة – بيروت (1994)
14- منهاج المسلم، للشيخ أبي بكر جابر الجزائري، دار السلام – القاهرة (1994)
15- الدراري المضية شرح الدرر البهية، للشيخ الإمام محمد بن علي الشوكاني، مكتبة التراث الإسلامي – مصر (1986)
16- رحمة الأمة في اختلاف الأئمة، للشيخ إبي عبد الله محمد بن عبد الرحمن الدمشقي، دار الكتب العلمية – بيروت (1987)
17- أنوار المسالك شرح عمدة السالك وعمدة الناسك، للشيخ محمد الزهري الغمراوي، مطبعة مصطفى البابي الحلبي – مصر (1948)
18- سبل السلام شرح بلوغ المرام، للشيخ الإمام محمد بن إسماعيل الصنعاني، دار الفرقان – الأردن (دون التاريخ) 
19- سبيل المهتدين، الشيخ محمد أرشد البنجري، Thinkers Library (1989).
20- Pengurusan Zakat, Mahmood Zuhdi Abd. Majid, Dewan Bahasa dan Pustaka –K.L (2003)


KREDIT : http://fiqh-am.blogspot.com/2009/09/zakat-fitrah.html