Ahad, 29 Disember 2013

Politik Tidak Selamanya Sekular

Ramai yang mengetahui, sebenarnya agama tidak hanya mengandungi spritual atau kerohanian semata-mata. Bererti kita sudah boleh mula mengatakan dengan suara yang lantang, “politik tidak selamanya sekular atau tanpa mempunyai nilai keagamaan”. Pada hari ini, banyak kita menyaksikan sendiri tindakan politik yang digunakan untuk memperjuangkan dan membela agama, menanggung pelbagai risiko dan merasakan pahit getir akan perjuangan yang dilalui. Perkara ini sudah termaktub dan tercatat dalam sejarah terdahulu mahupun sejarah kontemporari.
Dahulu kala, penyembah berhala yang terkenal iaitu Raja Konstantinapel daripada kerajaan Rom. Dia telah bekerjasama dengan golongan Kristian bagi membantu salah satu aliran Kristian yang bertuhankan Al-Masih untuk melawan Arius dan pengikut-pengikutnya. Mereka ini memiliki kefahaman yang sama dalam berpegang teguh akidah ketauhidan. Kemudian dibentuk akan Raja Konstantinapel, golongan Kristian. Raja Konstantinapel telah mengusir musuh-musuh Arius serta musuh-musuh golongan Kristian lainnya, selama bertahun-tahun. Seterusnya, pihak gereja di barat selama bertahun-tahun menjadikan Rom sebagai kiblat agama. Kemudian, terjadinya Revolusi Francis bagi melawan pihak gereja yang tidak mahu kepada menerima kebebasan dan perubahan. Pihak gereja mempercayai dan meyakini akan mitos, anti kepada golongan ilmuan, berpihak pada penguasa-penguasa dan sangat mengecam golongan yang lemah. Oleh sebab itulah, rakyat marah dan melakukan revolusi besar-besaran dengan melaungkan, “gantung raja terakhir dengan menggunakan usus pendeta terakhir”. Dalam sejarah Islam terutama pada zaman pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidun, politik digunakan untuk menegakkan agama dan agama dijadikan sebagai panduan utama dalam pemikiran, penggerak dalam perasaan, dan pendorong utama dalam tingkah laku manusia.

Sepanjang sejarah Islam, sikap tersebut selalu menjadi landasan utama, hanya berbeza kadar dan hitungannya sahaja. Perana agama Islam tidak pernah pudar sama sekali dalam kancah politik. Agama juga sama sekali tidak pernah membiarkan politik berjalan dan menentukan hukum sendiri dengan sesuka hati. Islam dijadikan dasar dalam kehakiman, dasar fatwa bagi rakyat, dasar pengajaran dalam perlembagaan pendidikan, sebagaimana yang pernah tercatat dalam kitab yang berjudul “Tarihuna Al-Muftara Alaih”. Hingga kini begitu banyak dasar politik yang berlandaskan ajaran agama, menghalakan rakyatnya pada jalan agama, secara terang dan lantang membela agama, dan sangat aktif dalam menyampaikan risalah agama.

Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi pernah menyatakan dalam penulisannya iaitu “Ad-Din Wa As-Siyasah”, bagaimana Zionis memainkan peranan politiknya dengan cara memanfaatkan agama dalam mendirikan, melindungi dan membesarkan negara mereka. Golongan Kristian juga telah memanfaatkan agama untuk membela dan memperkuatkan negaranya.

Lagi wujudnya kenyataan Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi dalam “Ad-Din Wa As-Siyasah”, George Walker Bush telah mewujudkan sumpah Masihinya yang ekstrim dan lebih condong kepada ideologi Yahudi dalam mengatur serta mengendalikan perjalanan pemerintahan politik negara Amerika Syarikat pada masa itu. Sikap George Walker Bush ini jelas lagi terang bersuluh merupakan asas keagamaan yang disebabkan keberhasilan dalam memenangi pilihan raya presiden, dan mengalahkan John Kerry yang lebih memilih dengan cara yang bertentangan dengan ajaran agama Masihi. Fenomena ini jelas lagi nyata bertentangan dengan anggapan bahawa semua politik adalah sekular dan sama sekali tidak meberikan jalan terhadap agama.

Ingatlah akan pesanan Tuan Guru Haji Harun Taib selaku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, "kita berjuang adalah untuk menegakkan Islam, tanpa boleh menegakkan Islam, tidak ada erti kemenangan kita". Wallahua'lam. 

Oleh, 




MOHD FADHIL BIN ZULKIFLI

Jumaat, 29 November 2013

6 Petanda Bagi Sifat Melampau (Ekstremisme) Dalam Agama

 1.         Taasub (Keras Kepala) Kepada Pendapat Sendiri

Kedegilan seseorang atau taasubnya seolah-olah dia sahajalah yang hidup manakala orang lain dianggapnya sebagai tiada,  yg beerti ia adalah berfikiran beku (jumud) dan sikap bekunya ini tidak membukakan matanya untuk melihat kepentingan-kepentingan majmuk atau sasaran  agama atau keadaan-keadaan semasa di samping tidak memberi peluang langsung untuk orang lain mengemukakan pendapat dalam dialog yang dapat menimbangkan pendapat-pendapat dari kedua belah pihak untuk menyaring satu-satu pendapat yang nyata kuat hujah dan buktinya.


2.            Berpegang kemas dengan yang sukar dan yang berat

Berpegang kuat dengan yang sukar dan berat tidak mahu berganjak sedikitpun padahal terang-terangan terdapat faktor-faktor yang mewajibkan kelonggaran, sambil memaksa orang lain pula mengikuti jejaknya sedangkan Allah swt sendiri tidak mewajibkan ke atas mengambil pakai qaul yang keras dan berat dalam satu-satu masalah agama didorong perasaan warak dan langkat ihtiat (langkah bercermat).
  
 Sabda Rasulullah saw :

 Mudahkanlah dan jangan kamu memayahkan, gembirakanlah dan jangan kamu meliarkan.

Namun begitu boleh juga diterima sikap seseorang yang memberatkan dirinya sendiri dalam soal-soal agama dengan hanya mengamalkan azaim yakni fadhu pada asalnya tanpa mengamalkan kelonggaran-kelonggaran yang dibenarkan (rukhsah) asalkan tidak memaksa orang ramai mengikutinya, tanpa menghiraukan bahawa tindakannya itu mendatangkan kesukaran kepada mereka dalam soal-soal agama dan duniawi mereka. Sedangkan sifat yang menjadi amalan baginda Saw menghalalkan benda-benda yang baik dan mengharamkan benda-benda yang tidak baik dan meringankan beban-beban dan merungkai belenggu yang dahulunya mengikat mereka.


3.            Bertindak Keras Bukan Pada Tempatnya

Berkeras kepala bukan pada tempatnya dan tidak kena pada masanya seperti bukan dalam negeri yang dianggap sebagai negeri Islam atau wilayah di mana Islam mempunyai sepenuhnya kedaulatan atau dilakukan terhadap sesuatu golongan yang baharu sahaja memeluk Islam atau baharu bertaubat. Seharusnya berlembut dan longgar dalam keadaan furu’ . Apa yang mesti dipentingkan ialah perkara-perkara prinsip.


4.            Kekerasan Dan Kekasaran

i)    ketika ditengah-tengah pertempuran perang dan menentang musuh kerena menjadi suatu hukum militari yang berjaya bertindak keras dengan musuh sehingga masa tamat perang  dan kedamaian wujud. Firman Allah:

maksudnya: perangilah mereka yang sekitar kamu dari orang-orang kafir dan hendaklah mereka rasa kekasaran dari tindakan kamu.


ii)     Dalam melaksanakan hukum had yang ditetapkan oleh syarak ke atas mereka yang terbukti kesalahannya kerana tidak ada tempat bagi perasaan belas kasihan dalam menjalankan hukum-hukum Allah di bumi. Firman Allah:

maksudnya: dan janganlah kamu merasa belas kasihan pada agama Allah kalau benar-benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat.



5.            Jahat Sangka Terhadap Manusia

Antara ciri-ciri lain ekstremis ialah bejahat sangka kepada orang lain
dan memandang kepada mereka dengan kaca mata hitam. Kebaikan-kebaikan mereka dipendapkan dan keburukan-keburukan mereka diperbesarkan.  Firman Allah:

maksudnya: Wahai orang-orang beriman jauhilah kamu daripada banyak sangkaan sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.

Seseorang Islam yang sebenar tidak sekali-kali terpedaya dengan amalannya. Dia amat bimbang amalan-amalannya rosak dan hampa dengan sebab tutur katanya dan amalan buruknya yang menghapuskan pahala amal solehnya.  Firman Allah:

maksudnya: dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut kerana mereka tahu bahawa sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka.


6.            Jatuhnya ke dalam Gaung Kafir –Mengkafir

Sifat ekstremis akan sampai kepada had penghabisannya apabila dia berani tuduh orang lain kafir yang beerti darah dan harta bendanya halal dicerobohi dan tidak memndang bahawa baginya pembelaan dan kehormatan yang dibenarkan dalam Islam.  Hal yang demikian merupakan kemuncak bagi sifat melampau atau ekstrimis atau fanatik iaitu telah memisahkan satu golongan orang-orang Islam dari saudara-saudara mereka muslim yang lain.

Hal ini perndah berlaku kepada golongan Khawarij dalam sejarah islam dahulu. Mereka kuat beribadah, berpuasa, solat malam dan membaca al-Quran tetapi mereka telah ditimpa kerosakan pemikiran sedangkan pusat batin mereka terserlah dengan cahaya.

Dr. Syeikh Yusof Al-Qaradhawi

Admin.

Rabu, 6 November 2013

Perutusan Maal Hijrah 1435

MPM KUIZM mengucapkan selamat menyambut tahun baru Hijriyyah 1435 kepada seluruh umat Islam khususnya para pendokong agama Allah s.w.t.


Sambutan ini menandakan bermulanya tahun baru mengikut kalendar Islam. Kalendar Islam ini telah diasaskan oleh Saidina Umar al-Khattab ketika menjadi Khalifah yang kedua dengan menjadikan tahun berlakunya hijrah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai tahun pertama dalam Islam.

Sekarang kita berada pada 1435 tahun jauh selepas penghijrahan Rasulullah s.a.w.. Namun, adakah kita mengerti tujuan penghijrahan Rasulullah s.a.w. tersebut?

Hijrah Rasulullah s.a.w. adalah bertujuan untuk menegakkan sebuah negara Islam yang melaksanakankan segala hukum hakam Allah taala. Islam tidak cukup hanya menjadi amalan ritual semata-mata tetapi mestilah didaulatkan.

Hijrah tidak patut jika sekiranya kita sekadar faham perubahan daripada tidak baik kepada baik, daripada malas kepada rajin, daripada jahil kepada 'alim. Bukan sekadar itu! Tetapi penghijrahan yang perlu dilakukan oleh kita pendokong Islam ini adalah untuk menjadikan Islam itu agama yang berdaulat bukan hanya sekadar amalan ritual semata-mata. 

"Islam mesti memimpin bukan dipimpin"

Salam Maal Hijrah 1435






Ahmad Syifa Abdul Rahim
Presiden MPM KUIZM 2013/14

Khamis, 24 Oktober 2013

Rabu, 25 September 2013

Majlis Konvokesyen Kali Pertama KUIZM

Taman Melewar, Gombak : Seramai 10 graduan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) telah berjaya menamatkan pengajian diperingkat diploma serta melayakkan mereka menerima diploma yang telah disampaikan oleh Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada majlis konvokesyen kali pertama yang berlangsung di Dewan Dato' Fadzil Noor.

Majlis Konvokesyen pada kali pertama ini juga meraikan 20 pelajar yang mendapat kecemerlangan akademik dan beberapa anugerah khas yang disampaikan oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIZM, Dato' Dr Mahfodz Mohamed.

Turut bersama meraikan majlis ini, Setiausaha Agung PAS Dato' Mustafa Ali ; Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar ; Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIZM, Dato' Dr Mahfodz Mohamed ; Ahli Lembaga Pengarah Dato' Mohd Nik Amar ; Rektor KUIZM Dr Shahbudin Ngah dan beberapa pimpinan muslimat PAS.

Pada Konvokesyen ini turut meyaksikan pelajar dari Kelantan, Nurul Izati Mohammad Sanadi  merangkul anugerah Graduan Cemerlang Keseluruhan manakala Rahimah Norakmal Muhammad diberikan  anugerah Graduan Cemerlang Akademik, sebahagian daripada mereka akan menyambung pengajian di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Raden Fatah, Palembang pada 23 semptember lalu untuk memperoleh Ijazah Sarjana Muda.

Konvokesyen pada 17 semptember lalu, buat pertama kalinya KUIZM berjaya melahirkan graduan cemerlang diperingkat diploma, iaitu Diploma Muamalat & Kewangan Islam dan Diploma Dakwah & Komunikasi.

Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan agar sistem pendidikan yang benar-benar mampu melahirkan generasi Rabbani hanyalah dengan bersistemkan Al-quran dan As-sunnah,bukan seperti yang berlaku kini para pelajar dijadikan bahan kajian untuk mencari keberkesanan sesuatu sistem ciptaan manusia.

"Penubuhan KUIZM serta Institusi lain oleh PAS adalah kerana untuk memenuhi tuntutan perjuangan islam yang diamanahkan demi untuk menyelamatkat manusia dengan islam selaras dengan perintah Allah supaya manusia perlu dibangunkan dengan ilmu".

 "Para ilmuan Barat mengambil kebanyakkan ilmu daripada islam tetapi tidak mengambilnya secara keseluruhan yang menyebabkan berlakunya keruntuhan sakhsiah, akhlak serta moral seseorang manusia, serta kesudahannya kini kuasa yang berada ditangan kuffar telah memporak perandakan dunia ,oleh itu umat islam terutamanya gerakan islam harus memainkan peranan yang penting dalam mahu memulihkan ideologi umat kepada islam yang sebenar".

"Dan meskipun pendidikan KUIZM masih tidak mencukupi dari segi segala aspek ilmu, namun ini mampu menjadi asas acuan islam yang mampu memberikan kefahaman islam yang sebenar kepada masyarakat ,Tahniah!"

Antara ucapan Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Ucaptama Konvokesyen KUIZM kali pertama.



                  sedikit gambar kenangan yang sempat dirakamkan buat pembaca.



Ketibaan Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang diiringi Setiausaha Agung PAS Dato' Mustafa Ali  serta Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIZM, Dato' Dr Mahfodz Mohamed , juga Wakil Ulama' Ust Abu Bakar Chik


apabila ulama' bertemu ulama..





Graduan yang berjaya menamatkan pengajian peringkat Diploma













antara barisan Pensyarah

Khamis, 12 September 2013

Obligasi Mahasiswa Menyisir Usaha (Muhasabah Semester Lepas)

Sesi pembelajaran bagi semester baru, pelajar KUIZM kini sudah pun tiba. Tahniah diucapkan kepada sahabat-sahabat yang berjaya menduduki semester baru. Moga dengan kejayaan ini dapat meningkatkan lagi semangat sahabat-sahabat untuk mendalami ilmu Allah swt.

Tidak dilupakan juga buat sahabat yang menghadapi beberapa masalah dalam keputusan peperiksaan baru-baru ini dan juga tidak berjaya menduduki semester baru. Kegagalan pada kali ini bukanlah kegagalan selama-lamanya. Sesungguhnya setiap langkah seseorang itu berbeza diantara satu sama lain. Ada dikalangan mereka yang Allah swt mempercepatkan kejayaannya, dan ada pula yang ditangguh buat sementara waktu, kerana belum tiba waktunya.

Apa yang penting, sebagai pemuda Islam kita seharusnya menjadi seorang yang lebih baik dari yang lepas. Sejarah sesi pembelajaran kita yang lepas, kita jadikan sebagai pengajaran dan iktibar bagi semester baru ini. Dengan kata lain, kita bermuhasabah kembali supaya kesilapan dan kelemahan yang lalu tidak diulangi kembali pada sesi ini.

Muhasabah memainkan peranan penting bagi ukuran kejayaan seseorang. Bagi individu yang mengenal dan mengambil iktibar daripadanya, akan terbuka jalan kejayaan baginya. Manakala yang tidak mengenal dan tetap lalai, akan tertutup jalan kejayaannya.

Sebagai pelajar, terdapat beberapa perkara yang mesti diberi penekanan. Pertamanya daripada sudut pembahagian masa belajar, perlu dilihat sejauh mana usaha kita dalam mencari ilmu dan sejauh mana disiplin kita terhadap jadual yang kita gariskan. Adakah kita betul-betul memanfaatkannya atau mensia-siakannya dengan angan-angan, hiburan, lepak dan lain-lain lagi.

Perkara kedua yang perlu diberi penekanan ialah daripada aspek kerohanian. Inilah perkara asas bagi kejayaan sebenar. Sesungguhnya keberkatan ilmu itu akan mengiringi pelajar, jika hubungannya dengan Allah swt dalam bentuk yang harmoni. Manakala  sebaliknya akan menyukarkan perjalanan menuju kejayaan dan menjauhkan keberkatan ilmu daripada pelajar.

Oleh itu, muhasabah perlu dipraktikkan dengan kaedahnya yang sebenar supaya masa depan kita kian bersinar bukan kian sirna. Jika tidak, kesilapan yang lalu akan diulangi kembali pada sesi pembelajaran kali ini dan akhirnya kegagalan akan menunggu kita pada hujung sesi nanti. Percayalah.....


Oleh,


Mohd Hakimi Hamzi Mohd Hayat
Timbalan Presiden 1
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM 2012/13


Ahad, 8 September 2013

Program Suaikenal Mahasiswa Baru (PSMB) September 2013

    
 بسم الله الرحمن الرحيم


Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) - Telah berlangsungnya satu program bagi menyambut kedatangan mahasiswa baru bagi sesi sept 2013 yang lebih dikenali Prog. Suaikenal Mahasiswa Baru (PSMB). Program berlangsung selama 3 hari diisi dengan pengisian yang berprinsipkan ukhuwah sesama peserta PSMB serta ukhuwah sesama pelajar junior dan senior.


Dengan bertemakan "ukhuwah pemangkin tarbiyah"program ini berlangsung selama tiga hari bermula pada tarikh 5-7 September program ini di rasmikan oleh rektor KUIZM DR shahbudin ngah , program ini bertujuan untuk memberi penerangan serta memperkenalkan KUIZM kepada peserta yang juga pelajar baru di Kolej ini. 

Antara pengisian yang diberikan kepada para peserta ialah Halatuju Mahasiswa & Kerjaya yang disampaikan oleh pensyarah KUIZM sendiri iaitu Ustazah Fitri Nurul Ain yang menyuntik semangat mahasiswa baru dalam merangka matlamat yang tepat sebagai mahasiswa islam dan menjadikan diri bermanfaat untuk perjuangan islam. 

Selain itu, Slot Usrah & Kepentingannya yang disampaikan oleh Ustaz Hairul Nizam yang merupakan salah seorang yang diberi kepercayaan untuk mengajar di Masjid Al-azhar ,Kaherah Mesir yang menekankan pentingnya usrah dalam kehidupan berjemaah, beliau juga ada menceritakan pengalaman yang menarik dalam berusrah yang mampu mengubah sesorang menjalani kehidupan dengan lebih cemerlang dengan konsep usrah yang mengikat hati setiap ahli usrah dengan kasih sayang serta tautan hati yang dicukup luar biasa.

Peserta juga didedahkan dengan sejarah penubuhan KUIZM serta konsep cara hidup yang diamalkan oleh masyarakat KUIZM seperti solat berjemaah setiap waktu di Surau Hassan Shukri, wujudnya usrah untuk setiap warga kuizm serta menghadiri Majlis Tafaqquh fiddin pada sebelah malam. 
Akhir sekali MPMK mengucapkan Ahlan Wasahlan kepada semua mahasiswa baru KUIZM ,semoga terus cemerlang dalam apajua cabaran yang bakal dihadapi dalam menjalani pembelajaran di KUIZM. Perlu ditekan bahawa kita menuntut ilmu dibawah tarbiyah Pas sendiri , maka setiap warga KUIZM perlu memahami maruah serta nama baik Pas juga KUIZM yang perlu dijaga dengan sebaiknya 

Sedikit kenangan yang dapat dirakam sepanjang Program ini berlangsung..























Jumaat, 30 Ogos 2013

Muhasabah Erti Kemerdekaan




Pada suatu ketika 31 Ogos 1957 , Stadium Merdeka bergema dengan laungan “merdeka, merdeka, merdeka” oleh Tunku Abdul Rahman. Tanah Melayu telah pun merdeka dari penjajahan British ketika itu.

Sekarang adakah benar-benar kita ini merdeka dari segala penjajahan? Bangsa yang menjajah negara ini telah lama pergi, namun mereka meninggalkan ‘sesuatu’ yang masih membelenggu kehidupan kita pada hari ini. Sistem pendidikan, sistem ekonomi, sistem kewangan, sistem budaya. Tidak keterlaluan dikatakan umat Islam telah terbelakang dalam menghadapi perkembangan semua sistem ini. Kerana semua sistem ini digunakan secara halus mahupun kasar untuk menekan hidup kita semua sebagai rakyat merdeka dari pelbagai aspek samada fizikal mahupun rohani. Dari sudut fizikal kita jauh ketinggalan, dari sudut rohani kita kosong bakal mengundang murka Tuhan.

Terbelenggu dalam khayalan dunia yang sementara. Terikat dengan hawa nafsu dan jalan yang dipimpin Syaitan. Mementingkan pandangan dan penghormatan manusia dari memikirkan pandangan Tuhan kepadanya. Tujuan hidup kabur di hadapan, hanya menurut perubahan zaman yang makin merenggut nilai Islam dan keimanan.

Layakkah kita melaungkan ‘merdeka’ tatkala negara kita dilanda pelbagai krisis dan masalah? Ya, dimana-mana pun akan ada masalah. Kita tidak akan sekali-kali dapat lari dari masalah. Namun barang diingat, masalah yang menimpa kita adalah akibat kesombongan kita sendiri yang cuba untuk tidak berpegang dengan aturan Tuhan. Bala yang Allah taala timpakan keatas kita bukan berbentuk runtuhan tanah tetapi bala itu datang dalam bentuk runtuhan akhlak.

Dimanakah merdeka? Jika sebahagian anak-anak muda Islam hidup tak tentu hala. di jalanan mereka merempit, di pusat serenti mereka melalui pemulihan dari najis dadah, sebahagian dari mereka pula di pusat perlindungan remaja akibat terlanjur, sebahagian lagi di sekolah pemulihan akhlak kerana salah tingkah. Sungguh sedikit golongan remaja yang benar-benar terpelihara pada zaman ini.

Dimanakah keadilan? Jika Pentadbiran kerajaan pun penuh dengan kebobrokan. Dimanakah keamanan? Jika statistik jenayah berat kian meningkat saban tahun. Dimanakah kedamaian? Jika intistusi kekeluargaan pun tidak lagi menjadi tempat teduh yang membangun jiwa, namun runtuh satu persatu tidak tahan dugaan dan godaan zaman. Sungguh! Kita masih belum merdeka. Semua ini berlaku gara-gara kesombongan kita juga. Moga ini bukan sekadar keluhan, namun menjadi peringatan untuk terus menguatkan diri dengan ilmu dan Iman. Hingga mampu mengajak diri sendiri dan orang lain kepada kebaikan, menjauhi segala kemungkaran.

Perkongsian ini sekadar menjemput kita semua muhasabah erti merdeka dari nilaian Iman dan Islam. Kepada para pelajar, menuntut ilmu bukan sekadar untuk mendapat segulung ijazah atau sesuatu pekerjaan, namun dengan ilmu itu kita ingin mengangkat potensi diri dalam menyumbang kepada ummah. Diri harus bebas merdeka dari ilmu yang makin menjauhkan hamba dari Pencipta.

Kepada yang bekerja, bekerja bukan hanya untuk mendapat imbuhan gaji setiap bulan, namun sesuatu kerjaya itu biarlah menjadi medan ibadah yang luas dalam menjalani kehidupan sebagai hamba dan khalifah Allah. Interaksi di tempat kerja atau apapun urusan pekerjaan, sentiasa diluruskan niat dan caranya agar diredhai Tuhan. Diri harus merdeka dari kerjaya yang perlu mengorbankan syariat Allah.

Kepada pasangan suami dan isteri, berkahwin bukan sekadar untuk melunaskan kehendak nafsu dan perasaan, namun dipanjangkan niat agar melahirkan umat Islam yang komited dan berwawasan. Perkahwinan menjadi wasilah untuk diri mencorak keluarga yang baru, yang penuh nilai-nilai Islam. Keluarga harus merdeka dari mengikuti budaya hidup yang bukan menepati kehendak Islam.

Kesimpulannya, kita semua adalah insan berjiwa merdeka jika sekiranya kita mengatur dan mengubah pemikiran, perasaan, tingkahlaku dan kebiasaan hidup kepada jalan yang dipandu al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk agung dari kita mengikuti suatu sistem dan budaya yang menyimpang jauh dari landasan Syariat Allah.

Di luar sana ada banyak lagi peringatan yang elok untuk kita renungkan dari pelbagai sudut pandang yang berbeza. Semoga kemerdekaan kali ini membuatkan kita merenung jauh dan lebih berfikir panjang apakah erti kemerdekaan yang sebenarnya.

MPM KUIZM mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 56. Merdekalah kita semua dari segenap segi dipagari syariat Ilahi. Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Admin.


Khamis, 22 Ogos 2013

Benarkah Kita Berjuang?


Benarkah kita berjuang?  kalau hanya mengisi borang dan mendaftar diri sebagai anggota jamaah Islam tetapi gagal untuk komited [iltizam] dengan segala aktiviti amal jamaei yang dianjurkan oleh jamaah. Kita hanya mampu mentarbiyah tetapi tidak boleh ditarbiyah. Mampu mengarah tetapi tidak boleh diarah. Mampu menegur tetapi tidak boleh ditegur.


Benarkah kita berjuang? dengan hanya semata - mata kerap menghadhiri ceramah - ceramah umum tetapi liat untuk hadir dan menekuni program - program khusus seperti usrah, liqa fikri, tamrin, mukhayyam dan pelbagai aktiviti spiritual seperti qiamulail, al mathurat dan zikrullah. Program ceramah dilihat lebih penting sebab kita dapat publisiti sedang usrah ni hanya dihadhiri oleh 10 orang, tidak glamour langsung!

Benarkah kita berjuang? apabila kita selalu sahaja gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah digalaskan ke atas pundak kita sebagai pimpinan jamaah walau dimana peringkat posisi kepimpinan kita. Mesyuarat sering tidak hadhir dan kalau pun hadhir hanya dengan kepala kosong. Lebih malang, ada mesyuarat dalam mesyuarat dan ada mesyuarat selepas mesyuarat.

Benarkah kita berjuang? wala' atau taat setia kita telah berbelah bahagi, bukan lagi kepada pimpinan jamaah tetapi di sana ada individu berpengaruh dan ia berada di luar jamaah yang sangat kita kagum karektornya. Sedang pimpinan kita sendiri dilihat kolot dan tidak hebat. Kita tidak berdiri teguh di belakang pimpinan kita sebaliknya kita teguh berdiri dan menyokong pemimpin dari luar jamaah kita sendiri.

Benarkah kita berjuang? ibadah kita kurang. Hubungan kita dengan Allah swt jauh. Gagal solat berjamaah dan membaca al quran pada kekerapan yang lebih berbanding orang awam. Kehalusan budi dan ketulusan hati tidak kita dimiliki. Ucapan kita menampakkan kesombongan dan tindakan kita tidak berhemah. Suka pandang rendah pada orang lain jauh sekali mahu menghormati mereka.

Ya Allah! benarkah kita ni berjuang? atau kita selama ini hanya bermain dan menambah beban dosa dalam perjuangan buat diri kita sendiri.

Sahabat ku semua, marilah kita bermuhasabah agar kita dekat dengan Allah swt dan kita segera diberikan nusrahNya. Insyaallah, muhasabah ini akan memulihkan hubungan kita yang retak, perjuangan kita yang tergugat, dan kedudukan kita yang kian jauh dari Allah swt.

Selamat berjuang sahabat ku!



Oleh, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Ketua Pemuda PAS Malaysia


Admin.

Isnin, 12 Ogos 2013

Hamba Rabbani Bukan Hamba Ramadhani

ALHAMDULILLAH, dapat lagi kita merayakan Aidilfitri yang mulia. Kali ini semuanya baru pakaian baru, rumah baru tetapi yang lebih penting ialah jiwa baru selepas melalui proses tarbiah daripada madrasah Ramadan lalu.Semoga puasa, sedekah, solat sunat Tarawih, bacaan al-Quran kita berjaya menjadi perisai kepada hati yang keras ini daripada sebarang bentuk musibah dan bahaya.

Sebagai muhasabah dalam merayakan Lebaran ini, kejayaan puasa kita sebenarnya diukur selepas kita melewati bulan Ramadan. Ada orang sepanjang Ramadan pergi ke masjid dan surau, tetapi selesai Ramadan, perkara itu tidak lagi dilakukan maka itu namanya ‘hamba Ramadan’ bukannya hamba Allah.

Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan. “Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan” maksudnya berbuat baik bukan hanya bermusim. Pergi masjid bukan ikut selera kita atau melihat orang ramai ke sana kita pun pergi. Kenapa kita hanya bersemangat pada bulan Ramadan? Oleh itu, marilah kita jadikan semangat serta kesungguhan di bulan Ramadan sebagai ‘percikan’ bagi meneruskan kerajinan pada 11 bulan mendatang.

Dalam suasana berhari raya di mana rumah terbuka sedang rancak di sana sini janganlah pula rumah Allah tertutup. Pada Syawal ini juga disediakan ‘pakej’ pahala pelengkap kepada puasa Ramadan. Pakej ini menggambarkan kelebihan umat Muhammad s.a.w, iaitu boleh mendapat kelebihan seolah-olah berpuasa setahun. Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya. “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun". (Hadis riwayat Imam Muslim).

Justeru itu, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang berkurangan atau cacat dalam amalan fardu. Menurut hukum fiqah, kita boleh memulakan puasa enam pada mana-mana hari sepanjang Syawal sama ada secara berterusan atau berselang seli. Namun, afdalnya ialah pada hari kedua Syawal dan dilakukan secara berterusan sehingga hari ketujuh. Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadan, puasa enam memberi peluang kepada mereka untuk menggantikannya disamping mendapat pahala puasa sunat.

Semoga dengan tarbiah yang diberikan oleh Allah s.w.t sepanjang Ramadan dapat kita susuli pula dengan puasa sunat Syawal. Semoga dapat kita hayati dan kita amalkan dalam kehidupan kita seterusnya menjadi muslim yang benar-benar sejati.




Mohd Syafie Md Yunos
Presiden 
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM 2012/13



Isnin, 5 Ogos 2013

Mencari Kemuliaan Taqarrub Oleh Seorang Anggota Gerakan Islam


l





1. Kebiasaan orang melayu yang beragama Islam di negara kita ini akan pancit di akhir Ramadhan, 
sedang Nabi saw mengajar kita supaya memperbanyakkan ibadah di 10 akhir Ramadhan. Barangkali kerana di dorong oleh mood aidilfitri pula dimeriahkan dengan rancangan-rancangan mengasyikkan di televisyen.

2. Masjid dan surau akan kembali lengang dan jamaah semakin berkurang menjelang akhir Ramadhan. Tumpuan mula teralih kepada persiapan menyambut hari raya secara berlebihan. Objektif Ramadhan hilang begitu sahaja. ini adalah suatu fenomena yang merugikan ummat Islam dan perjuangannya.

Firman Allah swt:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (Surah al Qadar . Ayat : 1 – 5)

3. Malam yang dikenali sebagai “Lailatul Qadar” adalah merupakan malam terbaik bahkan malam yang paling mulia disediakan oleh Allah ‘semalam dalam tempoh setahun’ .

Sabda Rasulullah saw :[1]

“ dan barangsiapa yang mendirikan ( ibadah ) pada malam lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan penghayatan (mengharapkan redho Allah) nescaya diampunkan baginya segala dosa–dosanya yang telah lalu.”
(Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

4. Al Imam an Nawawi rhm menyebut [2]: “ Lailatul Qadar adalah seafdhal–afdhal malam di dalam setahun. Barangsiapa yang mengadakan ibadah (qiamullail) pada malam Lailatul Qadar sekalipun ia tidak diberi taufiq untuk menyaksikan alamat–alamat Lailatul Qadar, nescaya ia dibalas dengan balasan yang tersebut.”

Rebutlah Peluang Taqarrub ini.

5. Setiap individu muslim yang menyertai Madrasah atau University of Ramadhan ini , sangat dituntut untuk mencari dan mendapatkan kelebihan malam Lailatul Qadar ini . Ia menjadi sunnah nabi kita Muhammad saw. dan juga menjadi amalan dan rebutan para salafussoleh untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Rasulullah saw pernah bersabda :[3]

“ daripada A’isyah Rha berkata : Adalah rasulullah saw. selalu beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan dan baginda saw. bersabda ; Rebutlah bersungguh – sungguh peluang untuk mendapatkan Lailatul Qadar pada malam–malam sepuluh akhir Ramadhan .” (Riwayat Imam Bukhari)

6. Rasulullah saw. melipat ganda amalan atau ibadah untuk menghampirkan diri kepada Allah swt. pada 10 malam akhir di bulan Ramadhan . Ini dapat dilihat dalam satu hadith yang diriwayat dari A’isyah Rha .[4]

“ dari A’isyah Rha berkata : adalah Nabi saw. apabila memasuki 10 akhir Ramadhan , Baginda bersungguh–sungguh mengerjakan ibadah dan menghidupkan malamnya dan menggerakkan anak isterinya (agar bangun beribadah)” (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Taqarrub sebagai Jambatan Nusrah.

7. Golongan yang hampir dan dikasihi Allah swt. sepantasnya layak menerima pertolongan dan kemenangan dalam perjuangannya untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Tentunya kita sangat memerlukan pertolongan dan kemenangan tersebut di kala dunia kini gersang dari rahmat Ilahi.

8. Tidak mudah untuk merentasi medan yang penuh cabaran dan rintangan ini melainkan pejuang yang diperkayakan dengan taufiq dan nusrah ilahi , namun untuk mendapatkan taufiq dan nusrah malah anugerah syurga itu pula hanya terbuka kepada mereka yang hampirkan diri kepada Allah swt .

“ Dan (puak Yang ketiga pula ialah) orang-orang Yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), - Yang akan mendahului (mencapai balasan Yang sebaik-baiknya di akhirat kelak) Mereka itulah orang-orang Yang dihampirkan (di sisi Allah), (Tinggal menetap) di Dalam Syurga-syurga Yang penuh nikmat.” (Surah al Waaqia’h . Ayat : 10–12)

[1] Imam Bukhari di dalam sohihnya : 253 / 2 dan Imam Muslim di dalam sohihnya 524 /1 
[2] Raudhah at Tolibin 389 / 2 dan Fathul Baari 267 / 4 
[3] Sohih Bukhari : 254 / 2 
[4] Sohih Imam Bukhari : 255 / 2 dan Sohih Imam Muslim : 832 / 2


Oleh Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat


Admin.

Jumaat, 26 Julai 2013

Tarikh Nuzul AlQuran



Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah di Gua Hira'. Peristiwa itu berlaku pada hari Isnin, bersamaan 21 Ramadhan atau 10 Ogos, tahun 610 Masihi. Peristiwa itu berlaku pada waktu malam. Baginda ketika itu berusia tepat 40 tahun 6 bulan 12 hari.

Berlaku perselisihan dalam kalangan ulamak, peristiwa kenabian itu berlaku di bulan Ramadhan. Ada juga berpendapat ianya berlaku pada bulan rabi'ul awwal. Ada juga yang mengatakan dalam bulan Rejab. Tetapi dirajihkan ianya berlaku dalam bulan Ramadhan.Seperti mana firman Allah : (( Bulan Ramadhan diturunkan padanya al Qur'an..)) –Surah al Baqarah ayat 185.

Bukan setakat itu sahaja, malah firman Allah : (( Sesungguhnya kami turunkannya pada malam Lailatul Qadar )) – Surah al Qadr ayat 1. Seperti mana yang kita ketahui malam lailatul qadar itu jatuhnya dalam bulan Ramadhan.Ia dikuatkan lagi dengan firman Allah di dalam surah al Dukhan ayat yang ke 3 : (( Sesungguhnya kami turunkan al Quran, pada malam yang diberkati, sesungguhnya kami telah memberi peringatan)). Rasulullah s.a.w berada di gua Hira pada bulan Ramadhan, jesteru peristiwa penurunan al Quran itu berlaku pada bulan Ramadhan juga seperti yang kita ketahui.

Tetapi, telah berlaku polemik, iaitu perselisihan ulamak pada menyatakan tarikh penurunan wahyu secara tepat. Antara pendapat tersebut ialah :

Pendapat 1 : Hari ke 7
Pendapat 2 : Hari ke 17
Pendapat 3 : Hari ke 18
Pendapat 4 : Hari ke 21

Dalam kitab Muhadarat Tarikh al Umam al Islamiah, karangan al Khadrie, jilid 1 halaman 69, menyatakan yang beliau berpendapat permulaan penurunan wahyu itu berlaku pada 17 Ramadhan. Tetapi al Mubarakfourie berpendapat tarikh yang sebenarnya ialah pada 21 Ramadhan.

Hujah al Mubarakfourie tentang tarikh 21 Ramadhan ialah kesemua ulamak sirah bersepakat peristiwa bi'sah nabi berlaku pada hari Isnin. Ini turut dikuatkan dengan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para imam-imam hadis seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah, sesungguhnya Rasul telah ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Baginda bersabda : pada hari itu, aku dilahirkan, dan pada hari itu diturunkan wahyu kepadaku. Dalam riwayat lain, terdapat lafaz : Hari yang aku dilahirkan padanya, dan hari yang aku dibi'sahkan atau hari yang diturunkan wahyu ke atasku. Hadis ini dikeluarkan dalam sahih Muslim ( Jilid 1 / halaman 368 ), Imam Ahmad ( Jilid 5 / halaman 397 dan 399 ), Imam al Baihaqie ( Jilid 4 / halaman 286 dan 300 ), al Hakim ( Jilid 3 / halaman 206 ).

Menurut al Mubarakfourie lagi, dalam tahun itu dan dalam bulan Ramadhan, hari Isnin tidak berlaku melainkan pada 7, 14, 21 dan 28 Ramadhan. Dan lailatul Qadar pula dalam riwayat hadis yang kuat menyatakan ianya berlaku dalam 10 hari terakhir Ramadhan dalam hari-hari yang ganjil. Jesteru jika dihitung mengikut firman Allah yang mengungkapkan penurunan al Quran pada malam lailatul Qadar, dari hadis bi'sah nabi yang berlaku pada hari Isnin dan perhitungan kalender secara ilmiahnya, menguatkan bahawa tarikh 21 Ramadhan berlakunya awal penurunan al Quran dan bukannya pada 17 Ramadhan. Inilah pendapat yang ditarjih oleh al mubarakfourie.

Namun, pendapat 17 Ramadhan adalah tarikh awal penurunan wahyu adalah pendapat jumhur ulamak.


Admin.