Jumaat, 26 Julai 2013

Tarikh Nuzul AlQuran



Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah di Gua Hira'. Peristiwa itu berlaku pada hari Isnin, bersamaan 21 Ramadhan atau 10 Ogos, tahun 610 Masihi. Peristiwa itu berlaku pada waktu malam. Baginda ketika itu berusia tepat 40 tahun 6 bulan 12 hari.

Berlaku perselisihan dalam kalangan ulamak, peristiwa kenabian itu berlaku di bulan Ramadhan. Ada juga berpendapat ianya berlaku pada bulan rabi'ul awwal. Ada juga yang mengatakan dalam bulan Rejab. Tetapi dirajihkan ianya berlaku dalam bulan Ramadhan.Seperti mana firman Allah : (( Bulan Ramadhan diturunkan padanya al Qur'an..)) –Surah al Baqarah ayat 185.

Bukan setakat itu sahaja, malah firman Allah : (( Sesungguhnya kami turunkannya pada malam Lailatul Qadar )) – Surah al Qadr ayat 1. Seperti mana yang kita ketahui malam lailatul qadar itu jatuhnya dalam bulan Ramadhan.Ia dikuatkan lagi dengan firman Allah di dalam surah al Dukhan ayat yang ke 3 : (( Sesungguhnya kami turunkan al Quran, pada malam yang diberkati, sesungguhnya kami telah memberi peringatan)). Rasulullah s.a.w berada di gua Hira pada bulan Ramadhan, jesteru peristiwa penurunan al Quran itu berlaku pada bulan Ramadhan juga seperti yang kita ketahui.

Tetapi, telah berlaku polemik, iaitu perselisihan ulamak pada menyatakan tarikh penurunan wahyu secara tepat. Antara pendapat tersebut ialah :

Pendapat 1 : Hari ke 7
Pendapat 2 : Hari ke 17
Pendapat 3 : Hari ke 18
Pendapat 4 : Hari ke 21

Dalam kitab Muhadarat Tarikh al Umam al Islamiah, karangan al Khadrie, jilid 1 halaman 69, menyatakan yang beliau berpendapat permulaan penurunan wahyu itu berlaku pada 17 Ramadhan. Tetapi al Mubarakfourie berpendapat tarikh yang sebenarnya ialah pada 21 Ramadhan.

Hujah al Mubarakfourie tentang tarikh 21 Ramadhan ialah kesemua ulamak sirah bersepakat peristiwa bi'sah nabi berlaku pada hari Isnin. Ini turut dikuatkan dengan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para imam-imam hadis seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah, sesungguhnya Rasul telah ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Baginda bersabda : pada hari itu, aku dilahirkan, dan pada hari itu diturunkan wahyu kepadaku. Dalam riwayat lain, terdapat lafaz : Hari yang aku dilahirkan padanya, dan hari yang aku dibi'sahkan atau hari yang diturunkan wahyu ke atasku. Hadis ini dikeluarkan dalam sahih Muslim ( Jilid 1 / halaman 368 ), Imam Ahmad ( Jilid 5 / halaman 397 dan 399 ), Imam al Baihaqie ( Jilid 4 / halaman 286 dan 300 ), al Hakim ( Jilid 3 / halaman 206 ).

Menurut al Mubarakfourie lagi, dalam tahun itu dan dalam bulan Ramadhan, hari Isnin tidak berlaku melainkan pada 7, 14, 21 dan 28 Ramadhan. Dan lailatul Qadar pula dalam riwayat hadis yang kuat menyatakan ianya berlaku dalam 10 hari terakhir Ramadhan dalam hari-hari yang ganjil. Jesteru jika dihitung mengikut firman Allah yang mengungkapkan penurunan al Quran pada malam lailatul Qadar, dari hadis bi'sah nabi yang berlaku pada hari Isnin dan perhitungan kalender secara ilmiahnya, menguatkan bahawa tarikh 21 Ramadhan berlakunya awal penurunan al Quran dan bukannya pada 17 Ramadhan. Inilah pendapat yang ditarjih oleh al mubarakfourie.

Namun, pendapat 17 Ramadhan adalah tarikh awal penurunan wahyu adalah pendapat jumhur ulamak.


Admin.

Rabu, 24 Julai 2013

Ulama' Pewaris Para Nabi

l


Rasulullah S.A.W. bersabda : “Ulama adalah pewaris para nabi." (HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda)

Para Nabi tidak mewariskan emas, tanah, rumah, atau barang-barang duniawi untuk dibahagi, dilelong dan diperebutkan. Mereka mewariskan ilmu, keyakinan, dan bimbingan.

Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sungguh, ulama adalah pewaris para Nabi. Sungguh, para Nabi tidaklah mewariskan dinar (emas) maupun dirham (perak), namun mereka hanyalah mewariskan ilmu. Siapa saja yang mengambilnya, sungguh ia telah mengambil bagian yang sangat banyak.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud, Tirmidzi, dan Ibnu Majah, dari Abu Darda’. Hadis sahih).

Seseorang itu mulia kerana keilmuannya dan kerjanya. Seperti contoh doktor yang kerja dan jasanya sangat besar di kalangan manusia. Sama seperti halnya pekerjaan jurutera, peguam DLL

Sesungguhnya pekerjaan yang paling mulia adalah memandu manusia kearah jalan yang benar dan menyelamatkan seluruh manusia daripada neraka Allah s.w.t. Begitulah peranan para nabi yang berusaha menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat. 

Nubuwwah ini suatu gelaran yang Allah s.w.t. beri kepada insan terpilih. Maka gelaran ini sudah tentu adalah yang paling tinggi dikalangan manusia dan lebih tinggi daripada gelaran dari manusia seperti tun, dato’ seri, Dr, Ir, Yb, DLL. Gelaran yang paling tinggi adalah bagi anbiya’ atau para nabi. Maka gelaran yang paling tinggi selepas para nabi adalah ulama’ kerana ulama’ pewaris para nabi. Ulama’ mewariskan kerja mulia yang para nabi laksanakan dan mereka mewarisi apa yang Nabi kita Muhammad tinggalkan.

Realiti didalam masyarakat kita pada hari ini
Ulama’ tidak diangkat menjadi rujukan utama masyarakat
Ulama’ tidak diangkat oleh pemimpin sebagai sumber rujukan utama Negara
Ulama’ tidak mendapat tempat didalam kepimpinan tertinggi kerajaan
Ulama' pula dicabar kepimpinannya didalam jemaah

Kata imam alGhazali “Apa lagi kedudukan paling tinggi berbanding dengan orang yang didoakan oleh malaikat sentiasa (alim ulama’). Sedang mereka sibuk dengan urusan diri mereka, malaikat pula sibuk mendoakan mereka”

Tugas kitalah yang mengangkat ulama’ supaya kepimpinan ulama’ ini menjadi yang tertinggi didalam pentadbiran di dalam jemaah kita dan di dalam negara kita.




Ahad, 14 Julai 2013

Pentingnya Kemenangan Dan Selamat Berjuang Buat Petugas PAS PRK Kuala Besut

Assalamualaikum w.b.t.

l

Asas perjuangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) antaranya adalah ingin menegakkan Islam dan mentadbir Malaysia ini dengan Islam. Jesteru itu, PAS menyertai pilihanraya yakni dengan melalui jalan demokrasi berpalimen bagi mendapatkan kuasa pemerintahan di Malaysia. 

Matlamat jelas yang disasarkan oleh PAS ini dapat kita lihat melalui ucapan tegas oleh al Marhum Ustaz Fadzil Noor sewaktu menyampaikan ucapan dasar Muktamar PAS kali ke 44 yang mengambarkan bahawa kemenangan PAS adalah suatu yang mendesak untuk menyelamatkan ummah dari terus hanyut dengan arus material, hendonisme dan segala ideologi yang asing dari wahyu Ilahi yakni Islam. Al Marhum Ustaz Fadhil Noor menegaskan agar PAS serta seluruh jentera dan aktivisnya bertekad mencapai kemenangan.

Sekiranya kita berjaya menghantar wakil PAS ke dalam Dewan Undangan Negeri akan membuatkan mereka tidak senang duduk kerana mereka tidak boleh membuat polisi dan dasar mengikut selera mereka semata-mata dan pastinya akan mendapat tentangan ahli-ahli dewan yang kita hantar.

Rabu 26 Jun lalu, kerusi DUN Kuala Besut menjadi pertaruhan berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Dr. A. Rahman Mokhtar. Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, Allahyarham menewaskan calon PAS, Puan Napisah Ismail dengan majoriti 2,434undi.

Kuala Besut sekali lagi menjadi pertembungan satu lawan satu yang terdiri daripada Tengku Zaihan (BN) dan Azlan Yusof (PAS). Sekiranya calon daripada PAS yakni Azlan Yusof memenangi PRK Kuala Besut bermakna jumlah kerusi yang disandang oleh BN dan PAS sama banyak iaitu sebanyak 16 kerusi.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat berkata, Terengganu akan mencatat sejarah pertama dalam negara sekiranya kedudukan seri 16-16 itu berlaku sambil memberitahu kemungkinan itu hanya akan terjadi sekiranya PAS menang dalam PRK ini.

“Kalau rakyat nak tengok sejarah dan apa yang berlaku selepas itu kenalah sokong PAS. Kalau sokong BN, tiada apalah yang berlaku. Mesti buat seri baru boleh tahu dan bagi PAS kita harap Kuala Besut dapat 16-16.

“Sekarang ini timbul pelbagai tafsiran termasuk berlaku kerajaan campuran dan kita sendiri belum tahu apa yang berlaku jika benar ia berlaku seri,” katanya kepada Sinar Harian.

Pilihanraya dan politik adalah sebahagian daripada kerja-kerja Islam bahkan ianya juga sebagai jihad kerana pilihanraya merupakan medan untuk memilih pemimpin dan kerajaan. Memilih pemimpin yang kita hantar ke dewan undangan negeri bagi menyampaikan kebaikkan Islam serta mencegah dan menentang kemungkaran yang hendak dilakukan oleh sesebuah kerajaan. Oleh kerana kita lihat pilihanraya ini suatu yang penting untuk memilih pemimpin dan kerajaan, maka kita mesti pastikan bahawa PAS perlu menang dalam PRK Kuala Besut kali ini.

Jesteru itu, MPMK mengucapkan selamat berjuang kepada para petugas PAS PRK Kuala Besut. Semoga kemenangan milik kita.



Ahmad Syifa Abdul Rahim 
Bendahari Kehormat
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM 2012/13

Selasa, 9 Julai 2013

Muhasabah Menjelang Ramadan

Bulan ramadan adalah tetamu agong yang datang bertandang kepada seluruh umat Islam. setiap apa sahaja yang dilakukan padanya akan mendapat balasan berganda. Begitu juga dengan jaminan pengampunan dosa yang cukup istimewa bagi orang yang melaksanakan tuntutannya dengan penuh keimanan. Sabda Nabi saw,

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dalam keadaan penuh keimanan dan penuh pengharapan, maka akan diampunkan baginya daripada dosa yang telah dilakukan.”

Moga dengan keberkatan Ramadan kali ini, kita akan dapat mengilap kembali hati yang pudar dan melumpuhkan nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin, khususnya mahasiswa Islam dalam proses untuk mendidik nafsu yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata. Tetapi, dengan lapar dan dahaga itu mampu mendidik nafsu dan peribadi kita agar berlandaskan syariat Allah swt.

Terdapat beberapa golongan manusia yang bersama kita pada bulan mulia ini. Selain daripada golongan yang mendapat keampunan dan tarbiyah ini. Terdapat juga golongan yang rugi dan amalannya sia-sia disepanjang Ramadan. Mereka tidak memperolehi apa-apa melainkan hanya lapar dan dahaga. Mereka ialah golongan yang mengabaikan peluang dan keistimewaan yang terdapat di dalam bulan Ramadan. Sabda Rasullah saw,

“Berapa ramai orang yang berpuasa, namun tidak mendapatkan apa-apa melainkan lapar. Dan berapa banyak orang yang solat pada tengah malam tidak mendapatkan apa-apa, selain berjaga malam.” Riwayat al-Nasa’i

Oleh yang demikian, kita perlu melihat dan muhasabah daripada segala aspek kehidupan kita agar tidak tergolong dalam golongan yang sia-sia ini. Bermula daripada perkara yang dilarang oleh agama dan seterusnya. Perkara asas yang wajib diberikan perhatian ialah, memastikan diri kita jauh dan tidak terjebak dari perkara yang dilarang oleh Allah swt. Pandangan mata, lidah, telinga dan lain-lain lagi perlu sentiasa diawasi agar tidak jatuh dalam kemaksiatan kepada Allah swt. Sekiranya tergelincir juga, maka segeralah bangun dan memohon keampunan dariNya.

Demikian juga aspek amalan ibadat. Kita perlu ‘up grade’  amalan ibadat kita daripada bulan-bulan sebelum Ramadan. Tidak sepatutnya bulan yang penuh keistimewaan ini, kita menyamakan amalan kita dengan bulan-bulan sebelumnya. Sekiranya sebelum ini kita jarang membaca al-Quran, maka jadikan bulan ini bulan al-Quran bagi kita. Jadikanlah ianya sebagai satu proses tarbiah untuk lebih dekat kepada penghayatan isinya dengan harapan al-Quran yang kita baca akan menjadi panduan kehidupan.  

Antara amalan yang amat dituntut pada bulan Ramadan ini ialah saling membantu antara saudara seagama. Objektif utama tuntutan ini ialah untuk memastikan kebajikan umat Islam terjaga dan seimbang. Situasi ini tidak akan tercapai melainkan dengan bermula daripada diri kita sendiri. Kita mesti tarbiah diri untuk ringan memberikan pertolongan, makanan dan sebagainya kepada sahabat kita. Amalan mulia ini akan mengeratkan kembali ikatan ukhwah yang dibina selama ini agar terus kukuh dalam mengharungi pelbagai cabaran yang mendatang.

Kesungguhan kita dalam melaksanaakan ibadah dan ‘up grade’ amalan ini, sebenarnya akan menjadikan kita sebagai insan yang berkeperibadian tinggi dan bertakwa kepada Allah swt. Itulah harapan dan matlamat daripada hasil tarbiah Ramadan, yang perlu dititikberatkan oleh mahasiswa Islam khususnya.

Gemilang atau hancur masa depan Islam terletak persoalannya di atas bahu mahasiswa Islam sekarang. Mahasiswa Islam yang kuat ialah mereka yang melalui beberapa proses latihan dan tarbiah. Diantara peringkat latihan dan tarbiah tertinggi ialah melalui tarbiah Ramadan. Semoga kita semua berjaya menempuhi tarbiah madrasah Ramadan kali ini. 



Mohd Hakimi Hamzi Mohd Hayat
Timbalan Presiden 1
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIZM 2012/13